BN Kedah perlu manfaatkan isu tempatan untuk tawan semula Kedah

0

ALOR SETAR: Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan menggesa Barisan Nasional (BN) Kedah agar terus memperkukuhkan barisan untuk menawan semula negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Katanya BN negeri harus memanfaatkan pelbagai isu tempatan di Kedah untuk merampas kembali negeri itu yang dimenangi pembangkang dengan majoriti kecil selain tidak mempunyai ramai pengundi atas pagar.

“Di antara empat negeri yang ditawan pembangkang, saya ingin nyatakan bahawa Kedah paling mudah ditawan, tiga lagi negeri saya tak mahu letak ‘priority’,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabat Perhubungan UMNO Negeri Kedah di sini semalam.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata pelbagai pergolakan di Kedah seperti isu Kolej Universiti Insaniah dan pembalakan tidak terkawal menunjukkan kerajaan negeri pimpinan PAS itu tidak mampu mentadbir negeri.

“BN Kedah jangan lepas-kan peluang untuk tawan Kedah, rapatkan barisan, bantu antara satu sama lain dan terus serang dan serang,” katanya.

Terdahulu beliau melancarkan Tabung Perajurit UMNO Kedah sebagai usaha mengumpul bantuan untuk disalur kepada keluarga perwira negara yang terkorban ketika menentang pengganas Sulu di Sabah.

“Pelancaran tabung di Kedah ini diharap menjadi permulaan untuk UMNO di negeri-negeri lain juga berbuat tindakan yang sama. Di peringkat pusat, kita sebagai kerajaan telah memberikan pelbagai sumbangan,” kata-nya.

Beliau turut menyeru orang ramai terutamanya anggota UMNO supaya menderma dan sumbangan boleh disalurkan melalui pejabat bahagian masing-masing atau terus ke pejabat UMNO negeri. — Bernama