Ketua militan masih berkubu

0

Polis yakin Azzimudie tidak pernah keluar dari Lahad Datu sejak pencerobohan: Hamza

MESRA: Hishammuddin beramah mesra dengan adik Siti Asrah Duasan berusia tiga bulan ketika beliau melawat Kampung Senallang Lama di Semporna, semalam. — Gambar Bernama

MESRA: Hishammuddin beramah mesra dengan adik Siti Asrah Duasan berusia tiga bulan ketika beliau melawat Kampung Senallang Lama di Semporna, semalam. — Gambar Bernama

LAHAD DATU: Pasukan keselamatan yakin ketua kumpulan militan yang men-ceroboh Lahad Datu, Azzi-mudie Kiram masih berada dengan kumpulan itu yang kini berkubu di Kampung Tanjung Batu, 130 kilometer dari bandar Lahad Datu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib yakin Azzimudie tidak pernah ke-luar dari kawasan berkenaan sejak pencerobohan pada 12 Februari lepas.

“Sebagai ketua dia tidak akan lari. Kami masih yakin dia bersama kumpulan itu,” katanya pada sidang akhbar bersama Panglima Satu Divisyen Infantri Tentera Darat Mej Jen Datuk Ahmad Zaki Mokhtar di markas operasi FELDA Sahabat 16, dekat sini semalam.

Hamza berkata, keyakinan itu bersandarkan kawalan ke-tat pasukan keselamatan di kawasan zon merah Ops Daulat termasuk melalui laut kerana kawalan di laut adalah amat kukuh dan pemantauan sentiasa dijalankan.

Selepas sembilan hari Ops Daulat, pasukan keselamatan menembak mati 56 musuh dan 25 daripada mayat penceroboh militan itu telah dibawa keluar dari zon merah.

Seramai 156 orang ditahan kerana berada di zon merah operasi, manakala 97 individu ditahan untuk siasatan kerana disyaki terlibat dengan pengganas mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 dan dibaca bersama Seksyen 130 (c) Kanun Keseksaan, kata Hamza.

Sehingga kini, 10 anggota pasukan keselamatan terkorban iaitu lapan anggota polis dan dua tentera. Seorang daripada anggota tentera itu terbunuh dalam kemalangan jalan raya di KM37 Jalan Lahad Datu-Kampung Tungku.

Hamza berkata, tiada pertempuran dilapor sejak malam kelmarin hingga jam 10 pagi semalam dan operasi kini diperluas ke Sungai Nyamuk, berhampiran Tanjung Batu.

Ditanya bila penduduk Kampung Tanduo akan pulang ke kampung mereka, beliau berkata perkara itu belum diputuskan kerana terdapat beberapa faktor perlu diteliti.

“Hanya ada 10 rumah di situ. Banyak aspek perlu dipertimbangkan termasuk sama ada tanah mereka duduki adalah milik mereka atau tidak dan taraf kerakyatan mereka.

“Pewujudan Kawasan Ke-selamatan Khas Sabah (ESSCOM) juga (menyebabkan) kami harus melihat secara le-bih menyeluruh bagaimana untuk menyelesaikan masalah itu,” katanya.

Mengenai kemalangan yang menyebabkan seorang anggota tentera terbunuh, Hamza berkata kenderaan tentera tiga tan itu yang menyertai konvoi dari Kota Kinabalu ke Lahad Datu untuk Operasi Daulat terbabas di KM37 Jalan Lahad Datu-Kampung Tungku pada jam 7.30 pagi, kelmarin.

Kejadian menyebabkan pe-ngiring kenderaan iaitu Kpl Ahmad Farhan Ruslan me-ninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kenderaan itu cedera.

Sementara itu di SEMPORNA, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan kejadian serang hendap terhadap anggota keselamatan di Kampung Simunul, Semporna pada 2 Mac lepas mempunyai kaitan langsung dengan pencerobohan militan di Lahad Datu.

“Kes serang hendap di Semporna yang mengakibatkan enam anggota keselamatan terkorban bukan kes terasing daripada kes pencerobohan pengganas di Lahad Datu sejak 12 Februari lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meng-adakan perjumpaan dengan penduduk Kampung Senallang Lama, kira-kira lima kilometer dari pekan Semporna, iaitu lokasi seorang pengganas di-belasah sehingga mati oleh penduduk.

Dalam kejadian itu, sekum-pulan pegawai dan anggota polis diserang hendap ketika memasuki perkampungan air terbabit untuk menjalankan operasi setelah mendapat maklumat mengenai terdapat kum-pulan bersenjata di kawasan berkenaan.

Kejadian pada jam 8 malam itu menyebabkan enam anggota keselamatan terkorban manakala enam musuh berjaya ditembak mati.

Mengenai penahanan 97 individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan ke- ganasan di Lahad Datu dan Semporna, Hishammuddin berkata jumlah yang sebe- gitu besar menunjukkan ke-rajaan amat serius dalam soal keselamatan dan keamanan negara.

“Jika tindakan tidak dilakukan sekarang, lebih banyak nyawa mungkin terkorban,” katanya sambil memberitahu bahawa kesemua mereka masih dalam siasatan.

Beliau berkata akta yang ada mencukupi untuk me-ngendalikan kes serius seum-pama itu. — Bernama