Penyebaran maklumat berkaitan pihak berkuasa harus berhati-hati

0

MIRI: Semua pihak harus bersatu untuk tidak menyalahgunakan penyebaran maklumat berkaitan pihak berkuasa.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai memberitahu, maklumat salah berkaitan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam isu pencerobohan di Lahad Datu tidak harus sewenang-wenangnya disebarkan tanpa usul periksa.

“Apa sahaja maklumat tentang pihak PDRM dan ATM dalam isu pencerobohan di Lahad Datu harus diperiksa terlebih dahulu,” katanya pada Majlis Makan Malam Persatuan Jualan dan Servis Komputer Sarawak (CSSA) Miri di Eastwood Valley Golf & Country Club malam kelmarin.

Menurutnya, CSSA turut boleh memainkan peranan kerana beliau percaya pihak itu lebih dekat dengan penggunaan teknologi maklumat.

Ini kerana jika maklumat palsu disebarkan, ia boleh membuatkan rakyat menjadi panik walaupun sebenarnya situasi semasa terkawal.

Mengenai peranan besar CSSA pula, Lawrence berkata persatuan berkenaan telah memainkan peranan besar ke arah sisa pembuangan e-waste di bandar ini.

“Sejak tiga tahun lalu, CSSA Miri aktif dalam menggalakkan penduduk bandar raya ini menguruskan sisa pepejal yang berbahaya,” jelasnya.

Untuk itu, beliau mahu CSSA menjadi salah satu daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperkasakan Miri sebagai bandar raya hijau.

Turut berucap pada majlis berkenaan adalah bekas Pengerusi CSSA Miri Victor Kuan dan Pengerusi CSSA Miri Kent Tang.

Makan malam berkenaan turut menyaksikan majlis angkat sumpah ahli jawatankuasa baharu CSSA Miri untuk sesi 2013/2014.