Sunday, June 20

Waspada tindak-tanduk pembangkang

1

Mereka cuba mengakui projek pembangunan BN adalah usaha mereka, kata Harden

SRI AMAN: Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis mengingatkan rakyat agar berwaspada dengan tindak-tanduk parti pembangkang yang cuba mengakui bahawa projek pembangunan Barisan Nasional (BN) adalah usaha mereka.

Ini kerana kumpulan itu dipercayai memberitahu bahawa projek pembangunan adalah hasil usaha mereka bagi menunaikan permintaan rakyat, ujarnya.

“Apabila kita (BN) sudah siap melaksanakan projek pembangunan seperti jambatan atau jalan desa, pihak terbabit seterusnya akan datang dan bertindak ‘merasmikan’ projek sambil mengatakan projek itu diberikan oleh mereka.

“Helah ini demi meraih sokongan politik daripada rakyat dan saya berharap rakyat sedar bahawa projek pembangunan itu datangnya daripada sumbangan kerajaan BN dan bukannya pihak pembangkang,” katanya

Beliau yang juga Menteri Muda Perumahan berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Jantong, Sebujok, Batu Lintang, Sri Aman baru-baru ini.

Dalam majlis itu Harden mengumumkan peruntukkan projek kecil luar bandar (MRP) bernilai RM5,000 kepada JKKK Rumah Jantong dan RM3,000 kepada Biro Wanitanya.

Sementara itu Harden melahirkan rasa kecewa dengan segelintir penduduk yang enggan tanah mereka dilalui projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) ke rumah panjang atau kampung mereka sendiri.

Menurutnya, tindakan itu boleh menimbulkan kelewatan pelaksanaan BELB dan sekiranya projek itu gagal kerajaan yang akan dipersalahkan kerana gagal melakukan usaha pembangunan untuk rakyat.

“Untuk itu saya memohon semua rakyat memberi kerjasama terhadap pelaksanaan projek pembangunan yang sememangnya boleh memberi keuntungan jangka panjang kepada semua rakyat,” ujarnya.

Turut hadir Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat, wakil Pegawai Daerah Sri Aman SAO Henry Krang, wakil Jabatan Pengairan dan Saliran Henry Tuah dan Pegawai JASA Parlimen Sri Aman Whelton Lumpoi.