Sunday, October 20

Lima buah rumah rosak dalam kejadian angin kencang

0

 

Abd Rahman bersama mangsa meninjau kerosakan sebuah rumah PPRT.

Abd Rahman bersama mangsa meninjau kerosakan sebuah rumah PPRT.

BEAUFORT: Lima buah rumah mengalami kerosakan teruk dalam kejadian angin kencang di Kampung Muhibbah pada awal petang Rabu.

Pengerusi JKKK Muhibbah, Abd Rahman Karmo, semasa ditemui berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 2.30 petang.

Antara kerosakan yang dialami dalam kejadian itu ialah atap dan bumbung tiga buah rumah yang turut melibatkan sebuah rumah PPRT didapati telah diterbangkan angin manakala dua buah lagi ranap sama sekali, namun tiada kemalangan dan kecederaan berlaku.

Kejadian itu membabitkan 25 ahli keluarga dan kesemua mangsa kini ditempatkan di Dewan Janang Gayuh, dan anggaran kerugian belum dapat dibuat penilaian.

“Saya sedang berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan bagi membantu mangsa membaiki dan membina rumah-rumah yang rosak, maka itu selagi rumah mereka tidak diperbaiki mereka akan tinggal di dewan ini.

“Jabatan Kebajikan sudah menghantar bantuan seperti makanan, tilam, selimut dan keperluan-keperluan lain,” katanya.

Salah seorang mangsa, Norazizah Mustaffa memberitahu pengalaman yang dilaluinya semasa kejadian itu, di mana ketika itu dia berada dalam rumah bersama suami dan anak kecilnya Norazizah Mustaffa yang baru berusia 7 bulan.

Bila mendapati angin kencang terlalu kuat dan merasa rumah mereka bergoyang, keluarga berkenaan bergegas melarikan diri ke rumah jiran untuk menyelamatkan diri.

“Syukur kami terselamat dan saya tidak dapat bayangkan apa bakal berlaku jika kami terus bertahan dalam rumah kerana rumah kami ranap sama sekali,” katanya.

Salah seorang mangsa, Kahar Kanap berkata beliau terpaksa melarikan diri ke tempat yang selamat untuk menyelamatkan anaknya Mohd Fizan ,10, yang merupakan OKU.

“Atap dan bumbung rumah saya diterbangkan angin kencang dan tidak boleh didiami sama sekali.

“Saya terfikir berapa lama harus tinggal bersama anak saya yang merupakan OKU ini di Dewan Janang Gayuh kerana saya benar-benar tidak berkemampuan untuk menggantikan kerosakan untuk membaiki rumah dengan keadaan pendapatan yang tidak menentu,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Jamilah Sabli berkata dalam kejadian itu keadaan menjadi panik apabila tiba-tiba saja bumbung rumahnya diterbangkan angin.

“Kami sekeluarga tergamam bila melihat bumbung rumah diterbangkan angin dan pada masa itu kami bergegas keluar menyelamatkan diri,” katanya.

Sejurus selepas kejadian itu, Ahli Parlimen Beaufort Datuk seri Panglima Hj Lajim Hj Ukin turut menziarahi mangsa-mangsa dan menyampaikan bantuan.