Cabaran berbasikal UiTM dedah pelajar anjur sukan

0

KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Samarahan melalui Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi telah menganjurkan Cabaran Berbasikal UITMCS di sini semalam.

Ketua Koordinator, Gordon Nicolaus Jemat berkata pertandingan tersebut bertujuan mendedahkan kepada para pelajar fakulti itu cara untuk menganjurkan pertandingan sukan selain menggalakkan aktiviti sihat.

“Mereka yang terlibat dalam projek ini adalah pelajar semester lima Diploma Pengajian Sukan (SR113).

Melalui pertandingan ini pelajar dapat pengalaman yang cukup berguna,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, pelajar yang terlibat akan dilatih mengenai aspek teknikal pengurusan penganjuran sukan.

“Selain itu turut diberi penekanan adalah persediaan lojistik, venue termasuk keselamatan peserta dan penonton.

Ia dapat memberi ruang kepada para pelajar cara-cara untuk mengendalikan sesebuah pertandingan dengan berkesan dan jayanya,” jelas beliau.

Dalam pada itu, penasihat kejohanan Cassendra Gilbert menjelaskan program itu memberi signifikan terhadap fakulti kerana ia dianjurkan sempena sambutan 40 tahun UiTM Sarawak pada tahun ini.

“Saya ingin merakamkan terima kasih terutama kepada para penaja yang menjadikan program ini satu realiti bagi kami semua.

Kerjasama serta komitmen mereka amat dihargai,” katanya.

Rektor UiTM Sarawak, Professor Datuk Dr Jamil Hamali hadir bagi melepaskan perlumbaan.

Ia dibahagikan kepada tiga kategori lelaki dan wanita iaitu MTB Veteran (40 tahun ke atas), Terbuka dan Terbuka MTB IPT.

Hamif Kamarudin, Mohd Fitri, Supian Nor, Vemity Ricky antara pemenang dalam kategori masing-masing.