GEORGE TOWN: Orang ramai yang sedang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di ibu pejabat GERAKAN di Jalan Macalister di sini, gempar apabila seorang lelaki tidak dikenali bertindak membaling batu dan kayu ke arah pintu pejabat itu semalam.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, lelaki tersebut yang menunggang sebuah motosikal memberhentikan kenderaannya di hadapan pintu masuk pejabat GERAKAN sebelum membaling batu dan kayu sehingga menyebabkan pintu berkenaan pecah.
Seorang pekerja di pejabat GERAKAN itu, Tan Hock Khim berkata selepas membaling batu dan kayu, suspek berusia lingkungan 30-an itu masuk ke dalam bangunan dan menjerit ke arah staf yang sedang bertugas.
“Ketika kejadian penduduk Sungai Pinang di sini sedang mengambil BR1M dan kami semua terkejut kerana tiba-tiba nampak lelaki yang memakai seluar pendek dan baju-T itu baling batu dan kayu, selepas itu dia masuk dan duduk di kerusi.
“Kita ambil gambarnya dan dia tidak kisah serta siap tunjuk simbol ‘peace’ lagi, dalam masa sama lelaki itu bising-bising mahu jumpa (Presiden GERAKAN) Tan Sri Koh Tsu Koon dan (Pengerusi GERAKAN negeri) Datuk Dr. Teng Hock Nan,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Tan berkata, tindakan lelaki itu menyebabkan orang ramai dan pekerja di ibu pejabat GERAKAN itu takut dan bimbang dicederakan.
“Nasib baik lelaki itu tidak mencederakan sesiapa cuma dia menengking dan marah-marah tanpa butiran yang jelas sebelum meluru keluar serta meninggalkan tempat itu dengan motosikalnya,” katanya.
Katanya berikutan kejadian itu, beliau membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Patani. — Bernama