KUCHING: Kejohanan bot berkuasa tinggi kawalan radio akan diperhebatkan, justeru dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri pada masa akan datang.
Ini memandangkan aktiviti tahunan itu semakin menarik minat badan-badan kerajaan, syarikat-syarikat korporat dan orang luar.
Pengerusi Kejohanan Bot Berkuasa Tinggi Kawalan Radio (R/C) Zenoah Malaysia, Abdul Malik Sudin berkata kejohanan yang sedang diadakan di Tasik Masja mulai 15 hingga 17 Mac ini merupakan yang terbesar pernah diadakan di sini.
Ia ditaja oleh Zenoah Malaysia dengan kerjasama Kumpulan Syarikat Kadri, Belalang Nujum, Perusahaan Marino, Kelab Bot Berkuasa Tinggi Kawalan Radio Kuching dan Kelab Viking.
Selain itu, ia turut mendapat sokongan Kementerian Pembangunan Sosial (KPS), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Bangunan Baitul Makmur (Masja) dan Bangunan Ibu Pejabat Kastam.
“Saya berasa bangga kerana kerajaan mula berminat dengan aktiviti tahunan ini,” katanya di sini semalam.
Selain itu, jelasnya, kejohanan pada edisi kali ini lebih besar kerana pihaknya menerima penyertaan dari dua buah negara jiran iaitu Indonesia dan Brunei.
Katanya, penglibatan peserta dari Indonesia dan Brunei membuktikan penganjuran kejohanan itu semakin popular dan perlu diperhebatkan pada masa akan datang kerana mampu menjana pendapatan lumayan.
“Selain kejohanan ini, kita juga akan menganjurkan kejohanan serupa pada Oktober depan dan ditaja oleh Kumpulan Syarikat Kadri,” tambah Abdul Malik yang juga Pengerusi Kelab Bot Berkuasa Tinggi Kawalan Radio Kuching.
Dalam pada itu, sebanyak 12 pasukan iaitu Malaysia (10 pasukan), Pontianak, Indonesia (1) dan Brunei (1) telah mengambil bahagian dalam saringan semalam.
Kategori yang dipertandingkan ialah Class A, D, E, F, G, Stock Engine Class dan Import Hull Class.
Pusingan akhir akan disambung hari ini.