Tuesday, December 6

BN terus bangunkan S’wak

0
MESRA: Taib bersalaman dengan belia yang menyambut ketibaannya di pekan Dalat semalam.

MESRA: Taib bersalaman dengan belia yang menyambut ketibaannya di pekan Dalat semalam.

Kerajaan masih berpegang kepada politik bangunkan negeri, bukan seperti pembangkang hanya berkata-kata

MUKAH: Kerajaan Barisan Nasional (BN) terus memperjuangkan pembangunan Sarawak supaya negeri ini terus maju, kata Ketua Menteri Pehin Seri Abdul Taib Mahmud.

Beliau memberitahu, kerajaan masih lagi berpegang kepada politik untuk membangunkan negeri ini, bukan seperti pembangkang yang hanya pandai berkata-kata.

“Kalau pihak pembangkang kata kita tidak buat apa-apa, mari kita lihat sendiri keadaan anak-anak serta keadaan kampung kita pada hari ini.

“Kita mempunyai pusat pendidikan selain perkembangan dalam pelbagai industri di negeri ini.

“Kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri berusaha bersungguh-sungguh untuk keselesaan rakyat.

“Sehubungan itu, kita dapat merasakan bagaimana keadaan hidup kita kini berbanding sebelum ini.

“Kita ambil contoh di kawasan SCORE ini yang telah menyediakan banyak peluang pekerjaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, ini merupakan politik BN untuk membangunkan negeri ini,” katanya berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di pekan Dalat semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Mukah Dato Sri Muhammad Leo Toyad, Ahli Parlimen Igan Datuk Abdul Wahab Dolah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat Datuk Fatimah Abdullah, ADUN Jemoreng Abu Seman Jahwie dan Setiausaha Politik Ketua Menteri Kenil Jerai’ie.

Dalam pada itu, Taib memberitahu bahawa pembangkang hanya tahu bercakap memburukkan kerajaan BN.

“Cerita-cerita memburukkan BN yang diperkatakan oleh mereka (pembangkang) dalam Internet adalah tindakan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada supaya mereka dapat memimpin negeri atau negara ini.

“Jika mereka (pembangkang) memimpin negeri ini kemungkinan negara ini tidak akan mencapai kemajuan kerana mereka tidak mempunyai pengalaman seperti kerajaan sedia ada.

“Selain itu, mari kita lihat negeri yang dipimpin oleh pembangkang adakah negeri di bawah pimpinan mereka ada kemajuan? Contohnya seperti di Permatang Pauh dan di Kelantan,” katanya.