Monday, May 27

Gejala LGBT pelajar sekolah dan IPT membimbangkan: Pakar kaunseling

0

KUALA TERENGGANU: Gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini semakin membimbangkan kerana turut membabitkan pelajar sekolah menengah selain pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), kata pakar motivasi dan kaunseling Hushim Salleh.

“LGBT tidak memilih bulu sama ada tua atau muda, lelaki atau wanita, golongan menengah atau rendah semua boleh terlibat di mana apabila terperangkap dengan LGBT, ia sukar untuk dipulihkan.

“Kita sangat bimbang dengan gejala ini kerana ia boleh membawa penyakit seperti HIV, sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS) dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada Seminar Kesedaran LGBT kepada pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini semalam.

Hushim, pemilik Syarikat Hushim Motivational & Counseling Consultancy yang banyak menangani kes-kes LGBT, berkata apa yang paling menyedihkan terdapat kes guru di sekolah agama yang mengambil kesempatan melepaskan nafsu songsang terhadap pelajarnya sendiri.

“Biasanya di sekolah agama…mangsa tidak tahu hendak mengadu kepada siapa dan kebanyakan kes hanya diam dan berlalu begitu saja tanpa sebarang tindakan terhadap pelaku,” katanya.

Hushim berkata, walaupun tidak ada jumlah sebenar kes LGBT yang dicatat di negara ini, namun daripada kajian yang dijalankan ia lebih menakutkan daripada gejala penagihan dadah.

Beliau berkata, pengamal LGBT sukar dikenal pasti kerana mereka boleh bertukar perwatakan pada waktu dan keadaan tertentu dan mereka sukar untuk dipulihkan kerana ia melibatkan naluri manusia.

Bagaimanapun, katanya pengamal LGBT boleh dipulihkan sekiranya mereka mempunyai keinsafan untuk berubah dengan menyertai seminar pencegahan dan ceramah termasuk ceramah agama.

Hushim turut memuji langkah UniSZA menganjurkan seminar seumpama itu yang dapat membendung gejala itu daripada menular di universiti itu. — Bernama