Saturday, October 8

RT berperanan wujud persekitaran selamat

0
RASMI: Annuar (tengah) merasmikan majlis berkenaan yang diadakan di Dewan MMB di Jalan Kampung Hilir, Sibu semalam.

RASMI: Annuar (tengah) merasmikan majlis berkenaan yang diadakan di Dewan MMB di Jalan Kampung Hilir, Sibu semalam.

SIBU: Rukun Tetangga (RT) memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang selamat dan harmoni di kawasan kediaman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapaee berkata penubuhan jawatankuasa RT banyak membantu mengukuhkan perpaduan penduduk di kawasan perumahan.

Begitupun katanya, RT juga perlu sentiasa bersedia meningkatkan dan menjaga imej pertubuhan berkenaan.

“Usaha seperti itu amat penting untuk menjadikan masyarakat menjadi lebih akrab dengan RT.

“Malah, adalah penting peranan RT diperjelaskan dengan sebaik-baiknya kepada orang ramai selain mengiktiraf peranan ahli-ahli jawatankuasa RT,” katanya pada ‘Majlis Perjumpaan dan Jasamu Dikenang’ di Dewan Melayu Melanau Bersatu (MBB) di Kampung Hilir, di sini semalam.

Oleh itu jelasnya, program yang dianjurkan oleh RT tidak harus terhad kepada ahli-ahli RT sahaja tetapi juga melibatkan semua masyarakat di kawasan RT terutama generasi muda.

Sementara itu, Annuar berkata terdapat 59 RT di bahagian Sibu, termasuk enam daripadanya di kawasan Parlimen Nangka dan 22 Skim Rondaan Sukarela (SRS).

Menyentuh mengenai SRS, Annuar mengakui bahawa indeks jenayah telah menurun dengan mendadak terutama di kawasan kediaman.

Selain itu, kelibat SRS juga berjaya meningkatkan semangat perpaduan, persahabatan, dan kerjasama di kalangan masyarakat.

“Jadi, RT memainkan peranan penting terutama membantu mewujudkan persekitaran yang selamat di kawasan kediaman.

“Sementara itu, RT juga perlu mempunyai kerjasama rapat dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kerana RT dan JKKK mempunyai peranan yang sama dalam melindungi keselamatan dan kebajikan kampung,” ujarnya.

Annuar memberitahu, RT dan JKKK memainkan peranan yang sama penting terutama dalam menangani masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat.

“Justeru, setiap masalah perlu disalurkan kepada pihak berkuasa berkaitan termasuk wakil yang dipilih,” katanya.

Hadir sama Residen Sibu Sim Kok Kee, Pengarah Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Dirwana Azool, Timbalan Pengarah Perpaduan dan Integrasi Nasional Delin Liet Blaun dan Pegawai Perpaduan Bahagian Sibu Susan Bennet.