Saza United julang Piala Sumbangsih

0

MUKAH: Saza United menjulang Piala Sumbangsih 2013, Presiden Persatuan Bola Sepak Mukah (MuFA) selepas berjaya menewaskan Landas 3-1 di Padang Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) di sini petang semalam.

Kejohanan julung kali diadakan di Bahagian Mukah meletakkan pasukan Saza United, pimpinan Samsu Ismail muncul juara dengan menerima Piala Sumbangsih, piala iringan, medal dan wang tunai.

Pasukan ‘gergasi’ Bahagian Mukah itu berjaya menjaringkan tiga gol hasil dua jaringan Hairoji Junaidi dan satu jaringan Izal Sahari pada separuh masa pertama, manakala satu gol pasukan Landas dijaringkan oleh penyerang mudanya, Colin Adeni.

Pasukan Jabatan Tanah dan Ukur Bahagian Mukah itu membawa pulang sebuah piala, medal dan wang tunai yang disampaikan oleh Presiden MuFA, Abu Seman Jahwie.

Dalam perkembangan yang sama, Liga MuFA akan bermula pada 23 Mac ini dengan penyertaan sebanyak 17 pasukan yang diundi dalam Kumpulan A menyaksikan MADRO dan Izara pada perlawanan pembukaan.

Pasukan-pasukan yang terlibat terbahagi kepada empat kumpulan dengan pemenangnya bakal menerima hadiah RM5,000, piala pusingan, piala iringan dan medal untuk juara.

Naib juara menerima RM3,000, piala dan medal manakala ketiga bersama akan menerima RM1,000, piala dan medal.

Pasukan Fair Play akan menerima RM300 dan piala, pemain terbaik dan penjaring terbanyak akan menerima masing-masing wang tunai RM200 berserta piala.