Semangat berpasukan dan setia kawan harus diutamakan, tegas Jacob

0
CENDERAMATA: Borhan (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Jacob sambil disaksikan oleh tetamu kenamaan yang lain.

CENDERAMATA: Borhan (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Jacob sambil disaksikan oleh tetamu kenamaan yang lain.

MARUDI: Para atlet yang mengambil bahagian dalam kejohanan olahraga peringkat sekolah, bahagian mahupun sebaliknya dinasihatkan supaya tidak hanya memikirkan kemenangan atau menjadi juara dalam sesuatu acara yang ditandingi mereka.

Sebaliknya, mereka perlu melihat kepada semangat dalam kejohanan itu yang boleh mendidik mereka secara tidak langsung terutama dari aspek berpasukan dan semangat setiakawan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Jacob Dungau Sagan berkata kejayaan hanya dapat dicapai melalui usaha, ketekunan, perancangan dan pengorbanan.

Oleh itu tidak ada kejayaan yang mudah dicapai melainkan melalui perjuangan yang berterusan.

“Kejohanan olehraga sekolah seperti ini juga merupakan landasan ke arah perpaduan, di mana pelajar digalak menjalin sifat hormat–menghormati dan membentuk semangat kerjasama berpasukan yang tinggi,” katanya.

Jacob yang juga Ahli Parlimen Baram berkata daripada semangat itu juga, maka matlamat akhirnya nanti adalah untuk membentuk sebuah masyarakat dan warganegara yang berjiwa kental, patriotik dan berhemah.

Sehubungan itu, beliau mahu agar kegiatan olahraga yang dianjurkan secara berterusan juga mampu dijadikan sebagai benteng penghalang kepada para remaja agar tidak terlibat dalam pelbagai aktiviti yang tidak sihat.

Jacob berkata demikian pada majlis perasmian Kejohanan Olahraga Majlis Sekolah-sekolah Rendah (MSSR) Bahagian Miri kali ke-29 di Stadium Mini Marudi, di sini kelamrin.

Dalam pada itu, Jacob mahu guru-guru sentiasa berusaha dan menggalakkan lebih ramai pelajar yang berbakat menyertai sukan atau olahraga.

Malah, beliau mahu penyertaan dan penglibatan mereka tidak hanya sekadar kegiatan waktu bersekolah tetapi juga selepas menamatkan alam persekolahan.

Jacob turut memuji penganjuran kejohanan tersebut yang dilihat berjaya mengumpulkan ketiga-tiga daerah iaitu Miri, Subis dan Baram untuk bersama-sama berkampung di sini dengan Baram menjadi tuan rumah tahun ini.

“Untuk mengumpulkan ketiga-tiga daerah ini bukannya senang tetapi perlu mempunyai komitmen yang kuat serta kerjasama yang rapat dengan pelbagai pihak bagi memastikan kejayaan penganjuran kejohanan ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Dearah Baram, Borhan Bujang yang juga pengerusi pengelola kejohanan memberitahu seramai 199 orang atlet dari tiga buah daerah di bahagian ini mengambil bahagian dalam kejohanan.

“Kesemua mereka membabitkan seramai 71 atlet dari Miri diiringi oleh 14 orang pegawai, Daerah Subis seramai 69 atlet serta 13 orang pegawai pengiring dan Daerah Baram seramai 56 orang atlet, yang akan bertanding dalam 44 acara iaitu dari umur 12, 11 dan 10 tahun masing-masingnya bagi kategori lelaki dan perempuan,” katanya.

Pada majlis tersebut, Jacob mengumumkan geran Pembangunan Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 untuk menjayakan penganjuran MSSR Daerah Baram kali ini.