‘Skateboard’ dimartabatkan

0

AKTIVITI SIHAT: Peserta kejohanan Skateboard Terbuka Sarikei bersama pihak jawatankuasa penganjur di Sarikei semalam.

Penglibatan serius PSBS mampu bawa belia ke tahap perkembangan positif, berfaedah

 

SARIKEI: Sukan lasak atau lebih dikenali sebagai sukan ekstrem yang pada suatu dahulu menjadi satu sukan trend yang digilai golongan belia telah lenyap buat seketika waktu.

Namun, situasi itu bukan satu faktor mematahkan semangat bagi golongan belia yang mempunyai minat mendalam bidang sukan ekstrem untuk terus berjuang memartabatkan sukan itu, kata Presiden Persatuan Skateboard Sarikei (PSBS), Yaakup Kepeli.

Menurutnya, tahun ini PSBS selaku salah sebuah persatuan bergiat serius dalam sukan ekstrem berusaha untuk membangkitkan sukan itu khususnya sukan papan selaju (skateboard) agar berada pada taraf yang membanggakan.

“Pada tahun ini, PSBS merancang beberapa perancangan dan bekerjasama dengan pihak-pihak lain untuk menganjurkan beberapa kejohanan serta terlibat dalam apa juga program yang dianjurkan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang memerlukan komitmen semua pihak sebagai sokongan kepada penganjuran sukan lasak ini.

“Kita yakin penglibatan PSBS secara serius dalam bidang sukan ini akan mampu membawa golongan sasaran ke tahap perkembangan positif dan berfaedah.

“Usaha ini juga sebagai langkah pihak kami mengasah bakat dan minat individu- individu berkebolehan dalam aktiviti ini, justeru diketengahkan untuk membuahkan pencapaian yang berimpak positif,” katanya ditemui pada kejohanan Skateboard Terbuka Sarikei anjuran PSBS dengan kerjasama Misasinus Motor Club, di sini semalam.

Kejohanan itu diadakan di Gelanggang Bola Keranjang Kompleks Sukan Sarikei dan dibahagikan kepada dua kategori iaitu dewasa (senior) dan junior (bawah 15 tahun).

Terdapat empat kategori dipertandingkan pada kejohanan itu iaitu ‘High Ollie’ (terbuka), ‘Best Trick’ (terbuka) ‘Games of Skate’ (terbuka) dan ‘Best To Run’ (tertutup).

Bagi kategori ‘High Ollie’ dimenangi oleh Yaakup Kepeli dari Sarikei, ‘Games of Skate’ pula dimenangi oleh Nashrullah Samsudin dari Saratok manakala kategori ‘Best Trick’ dimenangi Nordin Mamit dari Sibu.

Untuk kategori ‘Best To Run’ (tertutup) peringkat junior, tempat pertama dimenangi Muhd Adi b Ramli, kedua Hanif Nabil Abu Bakar dan ketiga Muhd Asraf Ramli, manakala peringkat senior pula, juara menjadi milik Yaakup Kepeli, naib juara Awang Zuraina dan ketiga Hamzah Hasenan.

Semua pemenang menerima hadiah berupa pingat, wang tunai dan peralatan papan selaju.

Pada masa yang sama, pemenang yang memenangi kategori tertutup akan mewakili Sarikei pada kejohanan spapan selaju yang bakal diadakan di Sibu dalam masa terdekat ini.

Menurut Yaakup, pada penganjuran pembuka tirai tahun ini PSBS menerima sokongan dan sambutan memberangsangkan daripada para peminat sukan ini.

“Pada penganjuran kali ini kita menerima penyertaan seramai 30 orang untuk kategori senior dan lima orang kategori junior.

“Apa yang lebih membanggakan pada kejohanan kali ini turut melibatkan penyertaan peserta dari luar Sarikei iaitu Sibu, Saratok, Kuching dan Meradong,” katanya.