Wednesday, August 12

Transformasi bawa rakyat keluar daripada kemiskinan tegar

0

BELAWAI: Rakyat terbela melalui kekukuhan tampuk pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) di peringkat negeri yang membawa mereka keluar daripada kepompong kemiskinan tegar.

Ahli Parlimen Tanjung Manis Datuk Norah Tun Abdul Rahman berkata pentadbiran paling kukuh kerajaan BN banyak membantu pembangunan sosioekonomi rakyat sehingga kini.

“Ia tidak dapat disangkal lagi, tiada pihak mampu membidas akan apa yang dibawa oleh BN kepada kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Parlimen Tanjung Manis, Pelancaran Hari Perhutanan Sedunia Peringkat Negeri Sarawak, Hari Daerah Kecil Belawai dan Hari Tanjung Manis 2013 di Tapak Pesta Belawai di sini semalam.

Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Hadir sama Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Belawai Len Talif Salleh, ADUN Semop Abdullah Saidol serta tetamu jemputan lain.

Berhubung isu di Lahad Datu, Norah berkata, kita telah diserang anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab yang cuba menjejaskan keamanan yang dinikmati negara selama ini.

Dalam pada itu, Norah turut menyatakan pelbagai pelaksanaan projek rakyat dirancang dan dijalankan di kawasan ini bagi memastikan rakyat berada pada  tahap sosioekonomi yang terjamin.

“Hasil usaha gigih kerajaan sejumlah 92 peratus telah menerima faedah melalui konsep transformasi yang dibawa dan daripada itu, 32 peratus berjaya keluar daripada kelompok taraf hidup miskin.

“Dari segi pendidikan rakyat pula, kerajaan menjalankan penambahbaikan 39 sekolah pada tahun pertama saya bergelar wakil rakyat.

“Bukan itu sahaja, Timbalan Perdana Menteri dalam lawatannya sebelum ini telah meluluskan peruntukan dan perancangan sebuah lagi sekolah menengah di kawasan Semop bagi mengembangkan lagi institusi pendidikan masyarakat luar bandar,” jelasnya.

Beliau menambah, dana sebanyak RM6 juta yang dinyatakan oleh Perdana Menteri bagi projek baik pulih jalan raya serta pemasangan paip-paip bekalan air kepada rakyat di sini rancak dilaksanakan dan dijangka siap pada 2014.

“Saya menyeru kepada semua rakyat agar terus berdiri pada paksi kebenaran yang membawa perubahan serta memberi sokongan sepenuhnya kepada parti komponen BN,” katanya.