Saturday, September 19

Kaum Sulu di S’wak dipantau

0
APA KHABAR?: Lee bersalaman dengan Effendey sebaik wira negara itu tiba di Lapangan Terbang Miri petang semalam sambil disaksikan (dari kiri) Sebastian, Acryl, Antonio dan Rosey.

APA KHABAR?: Lee bersalaman dengan Effendey sebaik wira negara itu tiba di Lapangan Terbang Miri petang semalam sambil disaksikan
(dari kiri) Sebastian, Acryl, Antonio dan Rosey.

Polis ambil langkah pastikan ancaman penceroboh tidak merebak ke Sarawak

MIRI: Sarawak mengambil beberapa langkah perlu termasuk mengenal pasti sekumpulan kecil kaum Sulu yang berada di negeri ini untuk memastikan ancaman penceroboh yang berlaku di Sabah tidak merebak masuk ke sini.

Pesuruhjaya Polis (PJP) Sarawak Datuk Acryl Sani Ab­dullah Sani berkata ini pent­ing memandangkan Sarawak terletak bersempadan dengan Sabah.

“Setakat ini, di Sarawak (yang berjiran dengan Sabah) kita telah mengambil beberapa langkah untuk memastikan bahawa ancaman yang berlaku di Sabah tidak merebak ke negeri ini.

“Tentu sekali terdapat sekumpulan kaum Sulu di Sarawak, tapi bilangan mereka sangat kecil dan mereka telah berada dalam radar kami.

“Kami telah mengenal pasti setiap orang daripada mereka secara individu,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Miri di sini selepas menyambut kepulangan salah seorang wira negara, Lans Koperal Mohd Effendey Rosli semalam.

Beliau memberitahu demi­kian ketika menjawab soalan wartawan berhubung khabar angin di Internet mengatakan Sarawak juga diancam peng­ganas Sulu.

Turut hadir Menteri Muda Perhubungan dan Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Pen­didikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus, Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, Residen Miri Antonio Kahti Galis, Pegawai Daerah Miri Boniface Intang Apat dan Setiausaha Politik Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Sebastian Ting.

Pada sidang media sama, Acryl memberitahu bahawa pasukan keselamatan masih mengekalkan kekuatan sedia ada di beberapa Pusat CIQ (Kastam, Imigresen dan Kuar­antin) seperti yang terdapat di Merapok, Lawas, Sipitang dan Sindumin.

“Berdasarkan risikan yang dilakukan mendapati perger­akan di pusat-pusat berkenaan masih normal dan setakat ini belum ada sebarang tanda (ancaman) dan kami berharap tidak akan wujud ancaman,” katanya sambil menambah pasukan keselamatan turut melakukan pemantauan rapi daripada segenap aspek di ka­wasan perairan negeri ini.

Beliau berkata kecederaan yang dialami Effendey, seorang anggota daripada Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) merupakan salah satu cabaran yang perlu dilalui dan dihadapi oleh setiap anggota kesela­matan.

“Meskipun demikian, kami tidak akan berputus asa dan patah semangat dengan apa yang kami lalui. Sebelum ini, Angkatan Tentera Malay­sia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah ber­juang untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman negara.

“Kini giliran kami untuk menunjukkan semangat juang yang tinggi dan kental un­tuk memastikan keselamatan dan kedaulatan negara tidak dicerobohi,” tegasnya.

Pada sidang media sama, Acryl yang mewakili Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar turut mengucapkan berbanyak terima kasih dan penghargaan kepada Effendey yang telah berjuang memper­tahankan kedaulatan negara dengan menyertai Ops Daulat di Lahad Datu sejak 5 Mac.

Effendey, 26, yang berasal dari Sabah cedera di kaki se­belah kiri setelah terkena satu das tembakan musuh ketika menyertai Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah pada 9 Mac lalu.

Turut mengiringi kepu­langan wira negara itu ialah ibunya, Rosida Abdullah dan seorang adik perempuannya.

Sementara itu, seorang lagi anggota daripada Batalion 12 PGA Miri yang cedera iaitu Lans Koperal Mohd Zair­iman Ibrahim, 25, kini masih dirawat di Hospital Sandakan dan akan dipindahkan ke sini setelah keadaannya stabil dan pulih.