Saturday, September 19

S’wak kurang terap keselamatan, kesihatan pekerjaan

0
PANTAU KUALITI KESELAMATAN: Hatta (dua kanan) ditemani (dari kiri) Humphrey dan Kamarulzaman mengadakan lawatan di tapak bina projek pembinaan kediaman pelajar di UNIMAS.

PANTAU KUALITI KESELAMATAN: Hatta (dua kanan) ditemani (dari kiri) Humphrey dan Kamarulzaman mengadakan lawatan di tapak bina projek pembinaan kediaman pelajar di UNIMAS.

KOTA SAMARAHAN: Sarawak masih ketinggalan dalam menerapkan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja terutama di tapak bina.

Pengarah Jabatan Kesela­matan dan Kesihatan Peker­jaan (JKKP) Sarawak Mohd Hatta Zakaria berkata, pada 2012 kemalangan di tapak bina yang dilaporkan dan disiasat di negeri ini adalah sebanyak 25 kes daripada 177 kes di peringkat kebangsaan.

Beliau menjelaskan, 25 kes itu terdiri daripada 10 kes maut, 12 kes tidak hilang upaya kekal dan selebihnya hilang upaya kekal.

“Data-data ini menunjukkan bahawa kesedaran untuk men­erapkan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja khasnya di tapak bina di Sarawak masih jauh di belakang jika dibandingkan di peringkat nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Operasi Tapak Bina 2013 di tapak projek pembinaan kolej ke­diaman pelajar di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini semalam.

Hatta memberitahu, eko­ran daripada itu ia memberi gambaran tidak baik kepada kedudukan Sarawak sebagai negeri yang paling tinggi nilai pelaburan di Malaysia.

Pada masa yang sama be­liau menjelaskan, pada 2012 sebanyak 166 tapak bina didaftarkan dengan jabatan itu membabitkan 40 tapak dikategori sebagai berisiko tinggi, 68 tapak berisiko pertengahan dan selebihnya kerja kejuruteraan.

Namun, katanya hanya 68 projek yang melibatkan kos melebihi RM20 juta yang aktif dan daripada jumlah tersebut hanya 24 projek mempunyai pegawai keselamatan dan kesihatan yang berdaftar.

“Sementara itu 75 peratus daripadanya melibatkan 125 projek tapak bina tidak mem­punyai (seorang) pegawai keselamatan dan kesihatan di tapak kerja yang berdaftar,” jelasnya.

Selain itu, Hatta memberi­tahu bahawa jabatan itu telah menjalankan 180 kali audit permulaan dan ulangan, men­dapati peningkatan prestasi yang memberangsangkan pada penggredan tapak bina.

“Kami mendapati 11 tapak bina kekal pada penggredan A/B, 33 tapak berganjak daripada gred C kepada gred A/B, 37 tapak daripada gred D/E kepada gred A/B, 29 tapak daripada D/E kepada gred C,” katanya.

Bagaimanapun beliau memberitahu, terdapat juga tapak-tapak menunjukkan penurunan kepada gred C dan D/E namun hanya melibatkan 12 tapak bina.

“Sebagai langkah punitif, sebanyak empat kes pen­dakwaan telah dilakukan, 12 kompaun, 30 notis larangan dan 53 notis pembaikan telah dikeluarkan di bawah Akta 514 dan 518 kepada kontrak­tor,” tegasnya.

Beliau menjelaskan, antara kesalahan direkodkan termas­uk gagal melaporkan kemalan­gan, peruntukan berhubung keselamatan dan kesihatan, tiada pegawai keselamatan dan kesihatan, tapak bina tidak berdaftar dan sebagainya.

Sehubungan itu, Hatta berkata menerusi operasi yang dijalankan serentak pada tahun ini bermula 18 Mac hingga 22 Mac di seluruh negeri, JKKP akan memberi fokus kepada 59 tapak bina melibatkan 32 tapak bina di Kuching, sembilan di Sibu, Bintulu dan Miri.

“Justeru, saya berharap pemain industri melaku­kan transformasi agar tidak bergantung kepada kerajaan untuk memastikan keselama­tan dan kesihatan di tempat kerja,” ujarnya.

Hadir sama Pengarah Pem­bangunan UNIMAS Hum­phrey Rayang Janang, Pen­garah Urusan Musyati Sdn Bhd Kamarulzaman Ahmad, Timbalan Pengarah JKKP (Khidmat Teknik) Aguse Adi, Timbalan Pengarah JKKP (Operasi) Zamrudah Yeop dan tetamu kehormat lain.