Tahanan Ops Daulat akan didakwa

0

 

Hamza (kiri) dan Ahmad Zaki pada sidang media.

Hamza (kiri) dan Ahmad Zaki pada sidang media.

LAHAD DATU: Kesemua tahanan Operasi Daulat yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan lain-lain akta akan didakwa di mahkamah dalam tempoh terdekat apabila maklumat akhir siap.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata sehingga pagi kelmarin seramai 107 orang telah ditahan di bawah SOSMA, iaitu penambahan tiga orang yang ditahan di Sandakan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan pengganas.

“Dalam masa terdekat ini, apabila segala maklumat akhir telah selesai, mungkin kita akan bawa mereka untuk didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 130(c) Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan SOSMA,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Panglima Satu Divisyen Infantri Tentera Darat, Mej Jen Datuk Ahmad Zaki Mokhtar, pada jam 10.30 pagi di Pusat Media Residensi Felda Sahabat 16, di sini, kelmarin.

Statistik jumlah tangkapan untuk lain-lain akta tidak berubah, ia masih 241 orang dan jumlah pengganas yang ditembak mati 62 orang.

Krisis pencerobohan pengganas dari Sulu sejak 12 Feb lepas mengorbankan sembilan anggota pasukan keselamatan dengan seorang anggota tentera maut dalam kemalangan jalan raya ketika menyertai konvoi Operasi Daulat. Sembilan lagi anggota keselamatan masih berada di hospital untuk menjalani rawatan.

Mengulas mengenai perkembangan Ops Daulat yang sudah memasuki hari ke-14, Hamza berkata empat pertempuran kecil yang tidak berpanjangan berlaku antara pengganas dan pasukan keselamatan.

Operasi menggeledah dan menjejaki musuh di kawasan Tanjung Batu itu bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan di kedua-dua pihak.

Beliau berkata, operasi menggeledah, menjejaki musuh dan membersih kawasan kubu pengganas di Tanjung Batu dijangka selesai hari ini dan pihaknya percaya bilangan pengganas yang tinggal, kurang daripada 50 orang.

“Pagi ini, operasi diteruskan untuk membersihkan kawasan Tanjung Batu dan jika tidak ada aral melintang, kita akan selesaikan hari ini,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zaki berkata pasukan keselamatan turut menggunakan 12 kereta perisai berantai Adnan yang mampu bergerak dalam pelbagai bentuk muka bumi.

“Kami yakin dengan tahap mobiliti, daya perlindungan dan kemampuan kereta perisai ini akan melancarkan lagi misi Operasi Daulat,” katanya.