Internet percuma dijangka April ini

0

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Internet percuma selama 30 minit sehari dijangka dilaksanakan April ini dan bakal dinikmati kira-kita lima juta rakyat Malaysia.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata mereka yang akan mendapat faedah itu, termasuk golongan yang berpendapatan bulanan di bawah RM3,000 bagi setiap isi rumah atau mengikut kelayakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Khidmat Internet akan diberi percuma kepada rakyat miskin dan pendapatan meng-ikut (kelayakan) skim BR1M. Percuma setengah jam pertama bagi kepentingan keluarga, diri sendiri dan perniagaan.

“Ia akan melibatkan semua yang berhak menerima BR1M, kita mulakan di paras itu. Pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah bagi satu keluarga dianggap boleh menerima BR1M. “Sebab itu kita akan gunakan penahapan itu untuk timbang kelayakan (untuk terima Internet percuma). Kita tak akan sekat kalau ada yang lebih miskin. Kita akan buat kaji selidik yang lebih rapi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Warga Telekom Malaysia (TM) dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Menara TM, semalam.