Bintulu bakal anjur bola sepak Liga Juara-Juara

0

BINTULU: Persatuan Bola Sepak Bintulu (BiFA) akan menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Liga Juara-Juara Sarawak penghujung tahun ini sempena sambutan 50 Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia.

Presidennya, Duke Janteng berkata, ahli jawatankuasa BiFA telah berbincang dan mengadakan mesyuarat bersama Residen Bintulu, Muhamad Yakup Kari dan wakil Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Sazali Abdul Rahman mengenai rancangan tersebut.

Katanya, ahli jawatankuasa di Bintulu juga telah dibentuk yang turut melibatkan 24 buah jabatan kerajaan dan swasta.

“Beberapa program lain turut dirancang sempena penganjuran Liga Juara-Juara Sarawak itu antaranya ialah pertandingan karaoke, kebudayaan, ekspo dan sebagainya dengan harapan ia mampu memeriahkan sambutan perayaan itu,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, beberapa venue penganjuran Liga Juara-Juara Sarawak yang dijangka akan digunakan untuk pertandingan serta dipersetujui oleh residen ialah padang di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Institut Kemahiran Mara (IKM) Bintulu, Dewan Suarah, ADTEC Bintulu dan Stadium Mini Bintulu.

Jelasnya, residen turut menyarankan agar persediaan rapi untuk penganjuran liga itu dan program-program sampingan lainnya diadakan mulai sekarang.

Begitupun, katanya, tarikh sebenar liga itu akan dilangsung belum dimuktamadkan lagi.

Sementara itu, Kejohanan Bola Sepak Liga Piala Petronas Edisi Ke-19 2013 bakal membuka tirainya pada 7 April depan dengan sepak mula kejohanan akan berlangsung di Stadium Mini Bintulu pada jam 3.

40 petang dan bukan seperti tarikh yang dinyatakan sebelumnya.

Katanya, sebanyak 16 pasukan telah mengesahkan diri untuk bersaing dalam kejohanan itu.

Kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai RM5,000, piala pusingan, piala iringan dan pingat untuk johan.

Manakala naib johan bakal menerima RM2,500, piala iringan dan pingat diikuti tempat ketiga akan menerima RM500.

Kejohanan itu merupakan anjuran Persatuan Bola Sepak Bintulu (BiFA) dan Petronas.