Pewujudan ESSCOM akan bawa manfaat seperti RASCOM

0

KUALA LUMPUR: Pewujudan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), kawasan keselamatan khas sepanjang 1,400 kilometer di timur Sabah, akan membawa manfaat seperti Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM) di Sarawak dalam menjamin keselamatan.

Bekas pegawai staf operasi di markas RASCOM, Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan berkata, penting ESSCOM diwujudkan kerana negara menghadapi satu keadaan diancam musuh yang mempunyai senjata, rakyat tidak selamat serta mampu menjejaskan ekonominya.

“Kita tak boleh biarkan ia (ancaman) berlaku. Saya yakin, ESSCOM mampu membuahkan kejayaan seperti RASCOM,” katanya yang yakin pembentukan ESSCOM nanti akan mencontohi strategi RASCOM yang dibubarkan pada 6 April 1995.

Model RASCOM masih relevan, strategik dan wajar diguna pakai pada abad ke-21 ini kerana negara sedang menghadapi musuh bersenjata yang menggugat keamanan negara, katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pembentukan ESSCOM diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Mac lepas merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu, untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur negeri Sabah.

Menceritakan peranan RASCOM, katanya: “Dahulu, pada era 70-an, Majlis Keselamatan Negara mengarahkan supaya RASCOM diwujudkan kerana kita menghadapi ancaman pengganas komunis militan dari Parti Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU) di bahagian tengah Sarawak iaitu Sibu, Kapit, Sarikei, Mukah dan Bintulu.”

Zulkiflee yang berpangkat kapten semasa bertugas di markas RASCOM dari 1978 hingga 1980 pada usia 24 tahun, berkata RASCOM yang diketuai Penglima Pasukan Keselamatan William Tang, amat berjaya sehingga mampu membuat komunis menyerah diri dan mengakhiri pemberontakan komunis di Sarawak yang berlarutan selama lebih tiga dekad. — Bernama