Friday, October 18

5,000 umat Kristian dijangka hadiri kebaktian Easter di Miri

0

MIRI: Kira-kira 5,000 umat Kristian di bahagian ini akan menghadiri kebaktian gabungan Tahunan Easter yang akan diadakan pada 29 dan 30 Mac ini.

Kebaktian ini yang dianjurkan oleh Borneo Evangelica Mission (BEM) atau lebih sinonim dengan nama Sidang Injil Borneo akan diadakan di Musical Corridor, Eastwood Valley, Golf and Country Club di sini.

Menurut jurucakap penganjur, masa untuk kebaktian sesi pagi adalah dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari, manakala sesi petang dari jam 7 malam hingga 10.30 malam.

“Ini bermakna sebanyak empat sesi kebaktian akan diadakan sepanjang sambutan dua hari tersebut berlangsung,” katanya.

Sementara itu, katanya, pada tahun ini, semua gereja BEM yang terdapat di kawasan Permyjaya, Senadin dan Kuala Baram diberikan kepercayaan untuk mengelola aktiviti tahun ini.

Sehubungan itu, pihak ahli jawatankuasa pengelola yang dipengerusikan oleh Pastor Harun Sedin ingin menjemput semua penganut agama Kristian di Miri dan sekitar tidak kira jenis denominasi untuk sama-sama datang ke program Tahunan Easter tersebut.

“Sesi kebaktian tahun ini akan dikendalikan sendiri oleh Pastor Harun Sedin,” ujar beliau.

Justeru, katanya, sekiranya ada sebarang pertanyaan lanjut berhubung kebaktian gabungan itu bolehlah menghubungi Pastor Harun melalui talian 014-6859880.