Sunday, October 20

Haiwan peliharaan perlu diawasi

0

Jangan biar berkeliaran, mungkin undang bahaya kepada penduduk

MIRI: Penduduk Miri khususnya di taman-taman perumahan diingatkan untuk mengawasi haiwan peliharaan mereka dan memastikan haiwan tersebut berada di dalam kawasan rumah.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai berkata, haiwan peliharaan terutama haiwan yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang awam tidak harus dibiarkan berkeliaran di kawasan perumahan.

“Awasi haiwan peliharaan anda sebaiknya tidak kiralah haiwan itu bersaiz kecil atau besar, agar tidak mengundang sebarang bahaya kepada penduduk di sekitar kawasan perumahan,” katanya dalam sidang media yang diadakan di MBM, kelmarin.

Diminta mengulas mengenai insiden di mana seorang penjaga kanak-kanak telah diserang dua ekor monyet yang disimpan sebagai haiwan peliharaan oleh jirannya di Permyjaya Selasa lalu, Lai melahirkan rasa kesalnya terhadap insiden tersebut.

“Saya kesal dengan apa yang berlaku. Pemilik kepada dua ekor monyet tersebut sepatutnya mengawasi haiwan peliharan itu dengan mengurung di sangkar atau memastikan haiwan tersebut tidak mengganggu jiran di kawasan perumahan dan tidak mencederakan orang lain.

“Haiwan (monyet) tersebut atau mana-mana haiwan peliharaan seperti anjing terutamanya, mungkin bersikap agresif dan akan menyerang orang awam tanpa diduga atau apabila mereka (haiwan) terasa terancam atau diganggu,” katanya.

Lai berkata, pihak MBM hanya mengeluarkan lesen untuk haiwan peliharaan iaitu anjing dan tidak mengeluarkan lesen untuk mana-mana haiwan yang spesies esotik atau terancam.

Permit khas atau lesen bagi menjaga haiwan spesies esotik atau terancam mesti melalui kelulusan pihak berkuasa seperti Jabatan Hutan Sarawak.

“MBM tidak mempunyai sebarang kuasa terhadap haiwan (esotik atau terancam) berkenaan kerana ia adalah di luar bidang kami,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang awam khususnya mereka yang tinggal di kawasan perumahan agar tidak memelihara ayam, itik atau angsa termasuk ayam sabung agar tidak mendatangkan pencemaran bunyi dan bau di kawasan kejiranan.