Kelab We Love PM lancar kutipan derma Tabung Wira Lahad Datu

0

SARATOK: Kelab We Love PM Cawangan Saratok melancarkan kutipan derma untuk Tabung Wira Lahad Datu, semalam.

Setiausahanya James Nyandang, 60, berkata tabung ini dilancarkan untuk membuktikan kelab itu turut memainkan peranan dalam memberi sokongan kepada para perwira yang mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman penceroboh.

“Pihak kita akan berusaha untuk mengutip seberapa banyak kutipan dan derma daripada masyarakat kita yang perhatin untuk meringankan beban ahli keluarga pejuang negara yang telah terkorban dan cedera sepanjang Ops Daulat dilancarkan.

“Hasil kutipan ini nanti akan kita serahkan pada pihak berkaitan pada suatu majlis anjuran pihak Astro yang bakal dilangsungkan di sini pada Ahad, 31 Mac ini,” kata James ketika ditemui pemberita, semalam.

Justeru, kata James, sebagai bekas anggota keselamatan beliau tahu bagaimana perasaan dan situasi yang dihadapi oleh anggota dan keluarga pejuang terbabit.

“Sehubungan itu, kita ingin menyeru kepada masyarakat kita agar sama-sama memberikan sokongan kepada pejuang kita baik dari aspek sokongan moral.

“Kita mahur para pejuang kita dapat merasakan bahawa perjuangan dan pengorbanan mereka selama ini amat dihargai.

“Usaha itu juga menunjukkan bahawa kita amat menyanjungi pengorbanan pewira negara dan perjuangan mereka bukannya satu permainan, sebaliknya usaha untuk mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman musuh negara,” jelas James yang juga merupakan Setiausaha Persatuan Pembasmi Kemiskinan dan Pembangunan Modal Insan.

Mengulas mengenai aktiviti lain yang turut dianjurkan oleh Kelab We Love PM sejak ia ditubuhkan pada 14 Julai 2012, James berkata, kelab bergerak aktif terutama melibatkan aktiviti sosial dengan penglibatan masyarakat di peringkat akar umbi.

“Hingga ke hari ini (semalam), jumlah ahli kelab kita khususnya dari kawasan Parlimen P.205 Saratok telah mencecah angka seramai lebih 4,000 orang.

“Pencapaian ini adalah satu perkara yang membanggakan dan ini juga membuktikan bahawa misi dan matlamat penubuhan kelab ini sedang bergerak dengan lancar pada landasannya,” jelas James.

Sekitar 50 ahli Kelab We Love PM hadir sama dalam pelancaran tabung terbabit, semalam.