Friday, October 18

Konvoi Jelajah Desa di Pulau Bruit disambut meriah

0

SIBU: Jalan simen yang menghubungkan beberapa kampung di Pulau Bruit dekat sini kelmarin meriah seketika apabila berlangsungnya Konvoi Jelajah Desa.

MERIAH: Abdullah (tengah) merakamkan kenangan bersama para peserta Konvoi Jelajah Desa di pekarangan Masjid Kampung Bruit, kelmarin.

MERIAH: Abdullah (tengah) merakamkan kenangan bersama para peserta Konvoi Jelajah Desa di pekarangan Masjid Kampung Bruit, kelmarin.

Lebih bermakna apabila di kalangan kira-kira 300 peserta konvoi bermotosikal itu, turut serta ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop Abdullah Saidol yang merupakan penaung program tersebut.

Abdullah yang juga Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri berkata, penganjuran julung kali konvoi bertemakan ‘Sejipo Sejulo’ (Sekeluarga Sehati) itu merupakan kejayaan melaksanakan program berteraskan belia.

“Saya memandu ‘kapcai’ (motosikal) sendiri kerana ingin merasai pengalaman menyertai konvoi.

Program Jelajah Bruit (konvoi) ini merupakan satu kejayaan yang jauh dari jangkaan,” katanya.

Pengerusi pengelolanya Gusti Sahdan berkata, peserta konvoi singgah di Kampung Salah Kecil, Penipah dan Tekajong untuk memberi cenderamata berupa baju-T kepada belia di kampungkampung terbabit.

“Peserta konvoi bertolak dari Kampung Betanak pada jam 9.30 pagi dan tiba di Kampung Bruit pada 10.30 pagi,” katanya.

Di Kampung Bruit, Abdullah dan peserta konvoi yang lain disambut meriah oleh penduduk kampung oleh pemimpin tempatan.

Konvoi tersebut merupakan program anjuran Anak Betanak Group dan Persatuan Anak Penibong dengan kerjasama Persatuan Anak Bruit Penyayang (PABP).

Rombongan turut diraikan dengan acara lain termasuk persembahan nasyid oleh kumpulan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Bruit, persembahan lagu kebangsaan, kutipan derma untuk Tabung Wira Lahad Datu dan perasmian logo baharu PABP oleh Abdullah.

Katanya, konvoi itu antara lain bertujuan menyemai semangat kekitaan dan kepercayaan antara ahli, memupuk semangat setiakawan dan kerjasama di kalangan ahli, membina perhubungan silatulrahim sesama ahli dan juga antara kumpulan dari kampung lain.

Program itu juga merintis peluang percambahan minda dan inovatif ahli daripada persekitaran kampung yang mampu diadaptasi menjadi realiti dan memberi kesedaran kepada ahli dan masyarakat setempat agar sentiasa bersatu-padu dalam merangka aktiviti masyarakat.

“Ia juga bertujuan menyedarkan ahli dan semua lapisan masyarakat tentang sikap amanah dan telus dalam merencanakan aktiviti, membuka mata semua ahli dan masyarakat tentang peranan dan tanggungjawab semua dalam hidup bermasyarakat khasnya golongan belia.

“Kita juga mempromosi kepada belia supaya ikhlas menyertai pertubuhan sukarelawan kampung khasnya Unit SABERKAS kampung dan mengingatkan ahli dan semua pihak supaya memilih untuk bekerja, membantu, menyumbang serta menolong mengatasi setiap kelemahan dan kekurangan,” katanya.