Meriahkan Jubli Emas Sarawak Sabtu, Ahad ini

0

MIRI: Penduduk Miri diajak beramai-ramai mengunjungi Stadium Tertutup Miri pada hari Sabtu dan Ahad ini untuk memeriahkan Sambutan 50 tahun Sarawak Merdeka dalam Malaysia Peringkat Bahagian Miri.

Residen Miri merangkap Pengerusi Pengelola, Antonio Kahti Galis memberitahu, pelbagai aktiviti telah dirancang yang turut melibatkan penyertaan awam pada hari tersebut kelak dengan tawaran hadiah-hadiah menarik.

“Kita mengajak penduduk di sini untuk mengunjungi ekspo jualan yang akan diadakan di perkarangan tempat letak kereta.

“Mereka juga diajak untuk beramai-ramai ke majlis pelancaran pada malam Ahad. Tiada bayaran masuk dikenakan,” jelasnya kepada pemberita di pejabat beliau semalam.

Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui akan merasmikan majlis sambutan pada malam Ahad bermula jam 9 malam.

Ekspo jualan sempena aktiviti itu dianjurkan oleh Majlis Pembangunan Usahawan Bahagian Miri (MPUB) yang turut mendapat kerjasama dari MARA, FAMA, DUBS, Jabatan Belia dan Sukan, Persatuan Peniaga Bumiputera Miri, Majlis Bandaraya Miri, Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan Sosial dan UPUB.

Sebanyak 50 gerai terlibat yang mempamerkan pelbagai jualan seperti makanan, minuman, makanan kering, pakaian muslimah dan kraf tangan.

Aktiviti lain ialah pameran ‘big bike,’ pertandingan membuat sandwic, pertandingan kek cawan, persembahan ‘breakdance,’ pertandingan poco-poco, bermukun, pertandingan karaoke lagu-lagu patriotik dan hadiah tiket bertuah.

Beliau memberitahu, siaran langsung majlis sambutan itu boleh disaksikan menerusi siaran 180 TV1 di Astro bermula jam 9.45 malam.

Tetamu akan dihiburkan dengan persembahan tarian etnik oleh 50 pelajar dari sembilan sekolah, nyanyian dari artis jemputan, Winnie Albert, Bibiyanti Bohari dan band Sand Paper.