Tuesday, October 15

Sambutan ulang tahun ke-50 S’wak amat bermakna

0

KUCHING: Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Kemerdekaan Sarawak dalam Malaysia tahun ini begitu bermakna serta signifikan bagi rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini kerana sejak kemerdekaan, mereka menikmati kestabilan politik, keharmonian, keama-nan dan ketenteraman, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu.

Beliau berkata, suasana yang begitu rupa juga membolehkan keyakinan daripada pelabur yang menyebabkan banyak transformasi wujud di seluruh Sarawak berbanding tahun 1963 ketika ia merdeka melalui Malaysia.

“Semasa itu Sarawak adalah di dalam kedudukan tiga buah negeri yang terbawah prestasi-nya, sedangkan sekarang di bawah pimpinan Ketua Men-teri Pehin Abdul Taib Mahmud, kita telah menyaksikan prestasinya meningkat ke tahap tiga buah negeri yang teratas,” kata Jabu yang juga Pe-ngerusi Jawatankuasa Sambutan Induk ketika ditemu bual dalam program ‘Selamat Pagi Malaysia’ di RTM 1 semalam.

Katanya, maka sambutan ulang tahun berkenaan adalah tepat kerana penyertaan rakyat jelata membuktikan bahawa semua dapat bersama menikmati segala kejayaan hasil daripada transformasi yang diwujudkan kerajaan negeri dan kerajaan pusat termasuk pembasmian kemiskinan di seluruh Bumi Kenyalang ini.

Bagi perayaan sambutan ke-50 ini, beliau yakin tema ‘Mengisahkan dan Memfokuskan Kepada Harmoni Antara Semua’ dapat mengatasi segala isu dalam suasana yang baik menerusi keharmonian untuk memastikan Sarawak bertambah maju, aman dan stabil supaya dapat dinikmati generasi yang akan datang.

“Inilah cara semasa kita menyambut perayaan, kita juga berazam untuk bekerja lebih gigih untuk menepati sasaran yang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak letakkan dan begitu juga matlamat Ketua Menteri yang mahu menuju ke arah tahap ekonomi berpendapatan tinggi,” kata Jabu.

Beliau berkata Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin akan melancarkan upacara sambutan pada malam Ahad ini di Stadium

Tertutup Petra Jaya di sini, yang akan disertai lebih 5,000 rakyat daripada pelbagai lapisan kehidupan.

Selain majlis pelancaran yang penuh warna-warni, katanya, sambutan itu mengandungi lapan acara utama yang akan dilangsungkan di seluruh negeri termasuk di peringkat residen, daerah dan daerah kecil supaya rakyat jelata dapat bersama menikmati hasil kemerdekaan dalam suasana riang gembira.

Ini termasuk simposium kebudayaan dari April hingga Disember, pameran pembangunan yang dicapai Sarawak sejak 50 tahun lepas (pada Julai), majlis kesyukuran di Masjid Jamek dan oleh institusi agama lain (15 September), perhimpunan rakyat, perarakan dan pertunjukan bot berhias (16 September), majlis penganugerahan bintang dan pingat kebesaran khas serta majlis penutup sambutan di Kuching pada November. — Bernama