Seramai 30 pelajar cemerlang SMK Bakun dan SMK Belaga terima insentif

0

BELAGA: Seramai 30 pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakun dan SMK Belaga menerima insentif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), baru-baru ini.

Seramai 20 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) SMK Bakun dan SMK Belaga serta 10 pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) SMK Belaga menerima insentif sebanyak RM250 setiap penerima.

Majlis penyerahan insentif disempurnakan oleh Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Billy Abit Joo yang berlangsung di SMK Bakun, Sungai Asap, Belaga.

Dalam ucapannya, Billy mengucapkan terima kasih kepada pihak ICATS dan PTPTN yang mengadakan program sehari dengan memberi peluang kepada pelajar luar bandar mengetahui lebih lanjut peluang melanjutkan pelajaran di peringkat institusi pengajian tinggi.

“Selain itu, terima kasih kepada usaha PTPTN menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu pelajar-pelajar di luar bandar dengan insentif kecemerlangan,” jelasnya.

Katanya lagi, pelaksanaan Koridor Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) memberi peluang kepada generasi muda untuk mendapatkan pendidikan dan latihan kemahiran dalam memenuhi keperluan pekerjaan.

Tambahnya, SMK Bakun merupakan sekolah menengah moden yang baharu dibina oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam usaha memberikan standard pendidikan terbaik kepada generasi muda di Belaga.

Hadir sama ialah Pegawai Tadbir Sungai Asap Seavers Miut, wakil Pengetua SMK Bakun Usat Ibut, Ketua Pensyarah ICATS Martin Madden, Pemanca Tony Kulleh, Penghulu Saging Bit, Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Belaga Kennedy Chukpai Ugon dan Setiausaha PRS Pemuda Belaga Hemang Yu Abit.