Thursday, September 28

81 murid sertai klinik bola sepak di Mukah

0

MUKAH: Seramai 81 murid menyertai klinik bola sepak yang julung kali diadakan di Bahagian Mukah anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Mukah dengan kerjasama Kelab Bola Sepak PSKPP Mukah, kelmarin.

Klinik empat hari tersebut dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman Mukah iaitu Jamal Wasli sambil dibantu oleh jurulatih- jurulatih Kelab Bola Sepak PSKPP Mukah iaitu James Anthony, Apan Bedol, Amriee Yusup, Abraham Japheth dan Rezzal Muli.

Ketua Penyelaras klinik tersebut Patrick Philip Moss berkata, ia merupakan pendedahan awal kepada para pelajar yang berumur 12 Tahun Ke Bawah (TKB).

“Ia sebagai medan pemilihan pemain-pemain yang berumur 12TKB untuk pasukan Bahagian Mukah sepanjang tahun ini selain bertujuan sebagai mengisi masa cuti sekolah dengan aktiviti berfaedah,” katanya.

Selain itu, jurulatih-jurulatih yang terlibat juga merupakan calon-calon yang akan menghadiri Kursus Kejurulatihan Kelas C FAM tidak lama lagi.