Kerajaan sasar bangun 260,000 hektar getah bermutu tinggi 2020

0

SRI AMAN: Kerajaan negeri menyasar untuk membangunkan sebanyak 260,000 hektar tanah dengan tanaman getah bermutu tinggi di Sarawak menjelang tahun 2020.

Menteri Muda Pertanian Datuk Mong Dagang berkata, untuk mencapai sasaran itu kerajaan merancang untuk membangunkan kira-kira 39,000 hektar tanah dengan tanaman getah setiap tahun.

Sehubungan itu, kata Mong, rakyat luar bandar harus mengambil peluang dan memanfaatkan sepenuhnya tanah milik mereka yang terbiar.

“Penyertaan mereka ini secara tidak langsung akan dapat mentransformasi ekonomi hidup masing-masing ke arah mewujudkan komuniti penduduk berpendapatan tinggi dalam tempoh tujuh tahun akan datang,” ujarnya.

Mong yang selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan berkata demikian kepada pemberita sejurus selesai upacara simbolik pelancaran Projek Tanaman Getah Berkelompok di Tekalong Melugu, Sri Aman, baru-baru ini.

Projek yang menelan kos RM3.7 juta itu melibatkan 68 peserta di kawasan tanah seluas 274 hektar.

Menurutnya lagi, Jabatan Pertanian Bahagian Sri Aman turut meletakkan sasaran penanaman getah di tanah seluas 1,000 hektar di kawasan Sri Aman setiap tahun.

Sehingga kini kerajaan telah pun meluluskan projek tanaman getah secara berkelompok di atas tanah berkeluasan 1,799 hektar yang melibatkan kawasan Sri Aman, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu, ujarnya.

“Saya berharap agar rakyat berpandangan positif berhubung usaha ini demi membantu kerajaan untuk mencapai sasaran pelaksanaan projek itu di sini (Sri Aman),” katanya.

Turut hadir Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat, Penolong Pengarah Pertanian Bahagian Sri Aman Badin Unor, para pegawai kerajaan dan ketua kaum tempatan.