Pertandingan Futsal Remaja Tertutup Bintulu pada 7 April

0

BINTULU: Pusat Aktiviti Kanak-kanak Bintulu (PAKK) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Bintulu akan menganjurkan Pertandingan Futsal Remaja Tertutup Bintulu 2013 pada Ahad, 7 April dari jam 7.30 pagi hingga 4 petang di Stadium Muhibah di sini.

Pengerusi PAKK Bintulu Janudin Ab Rahman berkata, pertandingan itu bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan dan muhibah di kalangan penduduk di sini sekali gus menyuntik semangat bekerjasama, meningkat kecergasan mental dan fizikal serta sebagai satu amalan dan budaya sihat penduduk melalui kegiatan sukan.

“Kami juga ingin mencungkil bakat-bakat baharu remaja dalam sukan futsal di sini,” ujarnya di sini semalam.

Justeru, katanya, pihaknya mempelawa pasukan-pasukan di sekitar Bintulu khususnya pelajar-pelajar sekolah menengah menyertai pertandingan itu.

Beliau berkata, pertandingan itu dikhususkan untuk pasukan remaja sahaja dan setiap sekolah atau pasukan remaja yang ingin menyertainya boleh menghantar lebih dari satu pasukan.

Katanya, jumlah pemain untuk kategori lelaki sahaja yang didaftarkan tidak melebihi lapan orang untuk satu pasukan dan pemain hanya dibenarkan bermain untuk satu pasukan sahaja.

“Sistem pertandingan diadakan mengikut liga kumpulan atau kalah mati yang mana akan ditentukan oleh penganjur berdasarkan jumlah penyertaan,” ujarnya sambil menambah taklimat dan cabutan undi akan diadakan dan hendaklah dihadiri oleh pengurus pasukan atau wakil pada Jumaat, 5 April, jam 3 petang di pejabat JKM Bintulu.

Pasukan yang ingin menyertai pertandingan itu boleh mendapatkan borang penyertaan di pejabat JKM Bintulu atau menghubungi Gracy dan Martew Martin menerusi talian 086-332341 atau 086-336494 atau faks 086-313675.

PAKK Bintulu juga boleh dikunjungi di Lot 1248, Lorong B4, Rancangan Perumahan Rakyat Sibiew Bintulu atau menghubungi Penyelia PAKK Bintulu, Moreen Amit (086-312943 atau 013-8345893) atau Janudin menerusi talian 016-2195352.

Borang yang telah lengkap diisi hendaklah dikembalikan kepada urus setia pertandingan pada atau sebelum Rabu, 3 April.

Pertandingan itu menawarkan hadiah wang tunai RM300, piala dan pingat untuk johan.

Manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima RM200 dan RM150 berserta piala dan pingat.

Pemenang tempat keempat akan menerima pingat dan sijil penyertaan.

Pasukan-pasukan lain yang menyertai pertandingan juga akan menerima sijil penyertaan.