Pesta Kaul Igan mampu diangkat ke taraf dunia

0

Keindahan pantai, budaya Melanau berpotensi jadi tarikan kepada masyarakat luar: Abu Seman

SIBU: Pesta Kaul Igan berpotensi dijadikan sebagai produk pelancongan untuk mempromosikan Daerah Kecil Igan, khasnya Kampung Igan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Abu Seman Jahwie.

Menurutnya, Kampung Igan terletak di tepi laut dan amat sesuai untuk dijadikan tapak pesta tersebut.

“Selain memiliki alam semula jadi yang indah dan cantik, kekayaan budaya dan warisan masyarakat Melanau di Daerah Kecil Igan khasnya Kampung Igan masih terpelihara.

“Justeru, saya berharap pesta ini dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang seterusnya dijadikan program tahunan bagi Daerah Kecil Igan dalam usaha kita mempromosikan Kampung Igan kepada dunia luar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Pesta Kaul Igan dekat sini, kelmarin.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Putit Ramli serta lebih 2,000 penduduk setempat.

Terdahulu, beliau bersama penduduk kampung menangkap udang menggunakan pukat dan menyertai beberapa aktiviti dengan masyarakat setempat.

Antara pertandingan dan aktiviti yang dianjurkan ialah bola sepak pantai, badminton, sepak takraw, pertandingan memancing dan sukan rakyat.

Abu Seman yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri menegaskan Pesta Kaul Igan mampu dikenali di seluruh dunia seperti Pesta Kaul Mukah jika ia terus dianjurkan dan mempunyai promosi yang kuat.

Beliau memberitahu, pesta tersebut adalah platform terbaik untuk menyatupadukan penduduk Igan dan mengeratkan silaturahim masyarakat Melanau.

“Seperti Pesta Kaul Mukah, ia juga berperanan menghimpunkan penduduk setempat untuk bersama-sama memeriahkan pesta itu yang dianggap sebagai satu kebudayaan dan tradisi kaum majoriti Melanau di kawasan tersebut.

“Pesta Kaul Igan ini masih berusia muda dan mesti diketengahkan ke tahap yang lebih tinggi memandangkan Igan bakal berkembang pesat tidak lama lagi,” katanya.

Sehubungan itu, Abu Seman memberitahu naik taraf jalan tar sepanjang 1.5 kilometer menuju ke pantai dari Kampung Igan yang melibatkan kos sebanyak RM1.2 juta telah memudahkan lagi orang luar untuk mengunjungi pantai tersebut.

“Ia adalah satu kelebihan kepada penduduk setempat jika Pesta Kaul Igan ini terus diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi dengan jaringan jalan raya yang baik.

“Ia memudahkan orang luar datang ke Igan bukan sahaja untuk menyaksikan pesta tetapi juga menikmati keindahan pantainya yang mampu menjadi tarikan kepada orang ramai,” tambahnya.

Pada majlis itu juga, Abu Seman mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada jawatankuasa penganjur Pesta Kaul Igan.