Politik tidak harus jejas perpaduan

0

Jangan sampai tidak bertegur sapa biarpun berbeza ideologi: Mussen

TERPEGUN: Mussen dan Nyalau menyaksikan tarian ngajat sebaik tiba di rumah panjang itu.

TERPEGUN: Mussen dan Nyalau menyaksikan tarian ngajat sebaik tiba di rumah panjang itu.

ENGKILILI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai Malcom Mussen Lamoh menasihati kaum Dayak terutamanya Iban agar tidak mengamalkan ideologi politik yang berbeza di sesebuah rumah panjang.

Menurut beliau, ini amat penting supaya penduduk boleh bekerjasama serta merancang apa sahaja pembangunan untuk memajukan rumah panjang masing-masing.

Beliau bekata, sekiranya penduduk berbeza fahaman politik sekali pun, ia tidak harus dijadikan penghalang untuk hidup harmoni.

“Sekiranya ada perbezaan politik antara satu sama lain ataupun antara saudara-mara sendiri di rumah panjang, janganlah sehingga tidak bertegur sapa.

“Sebaliknya kekalkan hidup harmoni antara satu sama lain seperti mana kehidupan yang kita amalkan sebelum ini dalam kehidupan seharian di rumah panjang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Mesra Rakyat anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Parlimen Lubok Antu di Balai Raya Rumah Panjang, Entu, Kelampo, Lubok Antu di sini, semalam.

Majlis itu telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak.

Selain itu, Mussen menasihati rakyat di Parlimen Lubok Antu agar jangan menggunakan pengaruh politik untuk bermusuh dengan orang lain.

Sebaliknya, katanya, manfaatkan pengaruh itu dengan tujuan baik seperti membangunkan kawasan masing-masing, katanya.

Menurut Mussen lagi, gelombang pembangunan yang pesat di negeri ini bukan sahaja turut dinikmati oleh rakyat di bandar, malah turut meresap ke luar bandar terutamanya yang tinggal di hulu sungai.

Beliau berkata, atas dasar sistematik dan kebijaksanaan kerajaan BN mentadbir negeri ini, maka hari ini rakyat menyaksikan banyak pembangunan dilaksanakan termasuk penduduk pedalaman.