Friday, August 14

Prasarana Limbang diperkasa

0

Kementerian lulus 23 Kampung Tanpa Wayar, pembinaan enam menara telekomunikasi

SELAMAT DATANG: Hasbi (kiri) dan Mohd Nazri ketika tiba untuk menghadiri Karnival Jalur Lebar di Limbang, semalam.

SELAMAT DATANG: Hasbi (kiri) dan Mohd Nazri ketika tiba untuk menghadiri Karnival Jalur Lebar di Limbang, semalam.

LIMBANG: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan melaksanakan beberapa inisiatif untuk meningkatkan infrastruktur komunikasi dan jalur lebar di daerah ini termasuk meluluskan 23 Kampung Tanpa Wayar (KTW) serta pembinaan enam menara telekomunikasi.

Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata, buat masa ini Limbang hanya mempunyai 21 KTW dan jika diluluskan nanti, jumlah itu akan meningkat kepada 44 KTW.

Menurut beliau, kementerian turut meluluskan permohonan untuk membina enam menara komunikasi di sini bagi memberi liputan dan penebusan perkhidmatan jalur lebar yang lebih meluas, termasuk di pedalaman.

“Selain itu, kementerian akan meluluskan pembinaan sebuah lagi kemudahan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) bagi memperluaskan penggunaan jalur lebar di daerah ini.

“Kemudahan ini menunjukkan usaha berterusan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa mengutamakan keperluan dan kehendak rakyat termasuk penduduk Limbang,” katanya ketika merasmikan Karnival Jalur Lebar di sini, semalam.

Datuk Mohd Nazri Abdullah Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi) Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Che Azemi Haron, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail dan jemputan lain.

Mohd Nazri menjelaskan, rakyat Limbang sangat beruntung kerana mempunyai pemimpin yang cekap dan rajin khususnya dalam menyuarakan isu di Dewan Rakyat serta menyalurkan permohonan daripada kementerian berkaitan.

Beliau menyifatkan Hasbi sebagai seorang wakil rakyat yang rajin bekerja dan kerap mengutarakan masalah rakyat di kawasannya agar diberi perhatian oleh kerajaan pusat.

“Dengan adanya wakil rakyat tersebut (Hasbi), Limbang tidak akan tercicir dan maju seperti kawasan lain,” katanya.

Terdahulu Hasbi dalam ucapannya menjelaskan, pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan melalui Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan termasuk pelaksanaan 21 KTW di kampung-kampung terpilih di daerah ini.

Jelasnya, melalui kemudahan itu, liputan jalur lebar telah dapat diperluaskan ke kawasan luar bandar dalam tempoh yang lebih pantas.

“Dalam pada itu, kerajaan turut menyediakan lebih 5,000 Komputer Riba 1Malaysia (KR1M) kepada pelajar dan individu berkelayakan, selain membina tiga PI1M yang berfungsi sebagai pusat rujukan aktiviti komuniti setempat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu kemudahan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti setempat untuk meningkatkan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) seterusnya merapatkan jurang digital masyarakat bandar dan luar bandar.

Beliau turut menyarankan penduduk agar memanfaatkan ledakan ICT untuk meningkatkan kemahiran menggunakan Internet, termasuk mengambil peluang-peluang perniagaan bagi menambah pendapatan.

Pada masa sama, katanya, perkhidmatan membaiki KR1M perlu dipertingkatkan dan diselenggara pihak kementerian pada masa depan untuk memudahkan pengguna membaiki komputer tersebut.

Katanya lagi, rakyat perlu sentiasa berwaspada dengan usaha pihak pembangkang yang menggunakan kemudahan ICT sebagai wadah untuk menimbulkan fitnah dan hasutan.

Laman-laman sosial, blog dan sebagainya kini menjadi saluran utama pihak pembangkang untuk menyebarkan dakyah tentang kerajaan bagi mengelirukan pemikiran rakyat, ujarnya.

“Kita minta penduduk Limbang agar tidak mudah percaya dengan segala usaha yang dilakukan pembangkang di laman sosial untuk menghasut rakyat.

“Di Limbang, kita tidak ada isu-isu yang besar, tetapi pembangkang sengaja membesar- besarkan isu kecil untuk menghasut pemikiran masyarakat,” katanya lagi.

Pada majlis sama, Mohd Nazri menyerahkan tambahan 5,000 KR1M termasuk 4,000 kepada Hasbi dan 1,000 unit lagi kepada Dr Rahman.