Friday, December 3

Singapura juara Pra Kelayakan Junior Davis Cup Asia-Oceania

0

KUCHING: Singapura dinobatkan johan Pra Kelayakan Junior Davis Cup Asia-Oceania Lelaki Bawah 16 tahun setelah menundukkan Yaman 2-1 di gelanggang Persatuan Lawn Tenis Sarawak semalam.

Keadaan cuaca yang baik memberi kelebihan kepada Yaman untuk terlebih dahulu memungut mata pertama menerusi Abdo Amr yang menundukkan Shervin Foo 6-3, 6-3 dalam perseorangan lelaki pertama.

Bagaimanapun, Isaac Ong mengembalikan saingan Singapura setelah menewaskan Alansi Ghassan 6-4, 6-2 dalam perseorangan kedua.

Mata kemenangan pasukan republik itu diperolehi menerusi gandingan Isaac dan Shervin terhadap cabaran Alansi-Thabit Samer.

Mereka menang 6-2, 6-2 untuk merangkul kejuaraan.

Kazakhstan menduduki tempat ketiga setelah menundukkan Arab Saudi 2-1 dalam saingan play-off.

Zhansultan Chembotayev mendapatkan mata pertama Kazakhstan dengan mengenepikan Omar Fahmi T Ahmed 6-4, 1-6, 7-6 (7/3) pada perlawanan pertama.

Arab Saudi membalas menerusi kemenangan 6-7(4/7), 1-6 Mohammed Shukri M Alsoughayer terhadap Bolat Mamyr.

Gandingan Zhansultan- Vladmir Gnilozubov memastikan kemenangan mutlak Kazakhstan dengan 3-6, 6-3, 6-3.

Tempat kelima dan keenam milik Vietnam dan Pakistan.

Perlawanan play-off tempat ketujuh hingga ke-10 pula menyaksikan Bangladesh menewaskan Emiriyah Arab Bersatu 2-0 untuk berada di tangga ketujuh.

Manakala tempat kelapan hingga ke-10 milik Emiriah Arab Bersatu, Iran dan Krygzstan.

Singapura dan Yaman layak ke Kelayakan Akhir Junior Davis Cup Asia-Oceania manakala Kazakhstan dan Sri Lanka layaka ke Junior Fed Cup.

Vietnam dan Pakistan pula melayakkan diri ke pusingan akhir Kejohanan Remaja Dunia dalam kategori lelaki.

Manakala Kazakhstan dan Sri Lanka akan berentap dalam kategori perempuan.

Perlawanan akhir akan diadakan dari 8 hingga 20 April depan di SLTA.