Friday, August 14

Sistem baraj kurangkan banjir: Daud

0

KUCHING: Pembinaan baraj terbukti dapat mengurangkan bencana banjir di kawasan rendah dan mudah dinaiki air untuk satu tempoh tertentu terutama ketika musim hujan dan tengkujuh.

Buktinya boleh dilihat di kawasan Kampung Sejijak dan Paroh yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.6 Tupong yang mana semakin kurang mengalami banjir meskipun terletak di tebing sungai.

“Ramai yang tidak faham tujuan pembinaan baraj dengan beranggapan ia akan menjejaskan rakyat.

Tetapi sebenarnya, baraj inilah untuk mengurangkan banjir, bukan sebaliknya,” kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk Daud Abdul Rahman.

Daud berkata demikian ketika berucap merasmikan Regata Sejijak Edisi Ke-5 di tebingan sungai kampung berkenaan di sini, semalam.

Acara tersebut merupakan anjuran Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Sejijak dengan kerjasama Parlimen P.194 Petra Jaya, DUN N.6 Tupong, Majlis Perbandaran Padawan (MPP) serta Pemuda dan Wanita Kampung Sejijak.

Mengaitkan penganjuran acara tersebut dengan pembinaan baraj, Daud berkata, sistem baraj telah membantu acara-acara seperti regata dijalankan dengan jayanya.

Ini kerana, menurutnya, baraj dapat mengawal pasang surut air sekali gus memudahkan penganjur mengatur dan merancang aktiviti yang berlandaskan sungai.

“Inilah kerajaan Barisan Nasional (BN).

Setiap pembangunan yang dirancang oleh kerajaan BN adalah untuk kebaikan rakyat.

“Rakyat harus memahaminya dan jangan mudah terpengaruh dengan hasutan pihak tidak bertanggungjawab yang mempunyai niat untuk menjatuhkan kerajaan.

“Jika pada Pilihan Raya Parlimen akan datang anda (rakyat) memilih pihak lawan dan bukannya BN, hanya satu peringatan saya, tiada mana-mana kerajaan di dunia ini yang sebaik kerajaan BN sekarang ini,” tegasnya.

Bercakap mengenai acara tersebut, sebanyak 12 kategori dipertandingkan sepanjang regata yang berlangsung selama tiga hari dari 29 hingga 31 Mac.