Ali tidak gentar lawannya di kerusi Parlimen Saratok

0

KUCHING: Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ali Biju berkata, beliau tidak gentar dengan siapa pun lawannya di kerusi Parlimen Saratok termasuk Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom.

Menurutnya, persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) sudah dilakukan sejak dua tahun lalu dengan mendekati rakyat di kawasan Parlimen itu dalam usahanya memahami sentimen serta masalah di peringkat akar umbi.

“Memang ketika ini khabar angin kuat mengatakan Mawan akan bertanding di Saratok tetapi ia masih khabar angin.

“Malah akhbar hari ini (semalam) melaporkan Mawan berkata, Jelaing (Mersat) masih lagi calon…jadi mereka belum ada calon yang pasti ketika ini.

“Apa pun, siapa jua calon SPDP di Saratok yang pasti PKR perlu bersedia dan harus berdepan dengan mereka kerana tidak ada cara lain,” katanya pada satu media di Ibu Pejabat PKR Sarawak yang turut dihadiri Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian.

Ali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian dan timbalan presiden PKR Sarawak juga percaya tsunami politik yang berlaku di Krian pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri 2011 akan berlaku semula di Saratok pada PRU13 nanti.