Tindakan Jawah ‘menjaja’ Larry Sng dikesali

0

LUBOK ANTU: Tuai Rumah Masam, Engkaras di kawasan Penempatan Semula Batang Ai Fasa II kesal dengan tindakan bekas Ahli Parlimen Lubok Antu Jawah Gerang yang ‘menjaja’ Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP) Larry Sng agar menyokongnya (Larry) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Masam hairan kenapa Jawah yang terkenal sebagai orang yang kuat memperjuangkan nasib kaum Dayak suatu ketika dahulu membawa kaum lain dari luar Lubok Antu bertanding menentang anak Dayak Lubok Antu sendiri.

“Saya tanya Jawah kenapa beriya-iya hendakkan Larry yang berasal dari Kapit itu menjadi wakil rakyat di Lubok Antu.

“Adakah kita di Lubok Antu tiada orang bijak pandai daripada kaum Dayak menjadi wakil rakyat kita sendiri dan tiada jawapan munusabah diberi Jawah kepada saya waktu itu,” katanya.

Masam berkata demikian ketika menceritakan pertikaman lidah antaranya dengan Jawah ketika Jawah berkempen di rumah panjangnya pada 27 Mac lalu.

Beliau memberitahu rakan seperjuangan yang hadir pada Mesyuarat Jentera Pilhan Raya Pusat Daerah Mengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai di Dewan Mengiling, SESCo, baru-baru ini.

Mesyuarat itu dipenge-rusikan Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak.

Sebanyak 24 Pusat Daerah Mengundi DUN Batang Ai daripada empat parti komponen BN Lubok Antu yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Masam yang merupakan bekas kaunselor daripada Parti Kebangsaan Rakyat Sarawak (SNAP) dahulu mengajak rakan seperjuangan agar jangan sekali-kali menyerahkan kerusi Parlimen Lubok Antu kepada individu yang bukan kaum Dayak dan bukan anak tempatan Lubok Antu nanti.