Dilema pengusaha bot ekspres Sibu

0

SESAK: Gambar fail menunjukkan keadaan sesak dengan penumpang yang turun dari bot ekspres dari Kapit di Terminal Penumpang Sibu ketika musim perayaan.

SIBU: Pengusaha bot ekspres terutama bagi sektor Sibu-Kapit kini menghadapi masa hadapan yang tidak menentu, keadaan jauh berbeza dengan apa yang dialami mereka 20 tahun lalu.

Menurut seorang pengusaha bot ekspres, Kaunselor Theng Nam Hoi, 50, perusahaan bot ekspres kini hanya cukup-cukup makan, lebih-lebih lagi dengan kos operasi yang semakin meningkat setiap masa.

“Pada hari-hari biasa, jumlah penumpang kini semakin berkurangan berbanding dahulu, menyebabkan sukar bagi kita menampung kos operasi.

“Jumlah penumpang hanya meningkat pada hujung minggu atau ketika musim perayaan. Jadi, perolehan pada waktu tersebut akan digunakan bagi menampung kos pada hari-hari biasa.

“Perolehan kita hanya cukup-cukup makan serta membayar gaji pekerja,” katanya ditemui di sini semalam.

Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu itu turut memberitahu kos operasi juga semakin meningkat berikutan kenaikan harga alat ganti seperti enjin sehingga dua kali ganda.

“Kita akan menghadapi lebih banyak masalah jika berlaku kerosakan enjin kerana ini akan melibatkan kos yang banyak bagi memperbaikinya,” kata pengusaha bot ekspres Good Success 898 dan Good Success 899 ini.

Theng yang telah mengusahakan bos ekspres sejak 30 tahun lalu bersyukur kerana kerajaan memberikan subsidi minyak diesel kepada pengusaha bot, sekali gus membantu meringankan beban mereka.

Menyentuh mengenai tambang ekspres bagi sektor Sibu-Kapit iaitu RM30 bagi kelas pertama, kelas kedua (RM25) dan kelas ketiga (RM20), beliau memberitahu tambang tersebut tidak membebankan penumpang.

“Jika kita naikkan kadar tambang, ini hanya akan menyukarkan penumpang terutama golongan berpendapatan rendah. Bayangkan jika sebuah keluarga terdiri daripada lima orang hendak ke Sibu, berapa tambang yang perlu mereka bayar.

“Walaupun kita sebagai pengusaha bot inginkan keuntungan, namun kita tidak lupa kepada penduduk luar bandar yang susah,” jelasnya.

Theng juga menyambut baik usaha kerajaan membina jalan ke Kapit kerana langkah tersebut dilihat memberi lebih banyak manfaat kepada semua pihak.

Walaupun pembinaan jalan itu nanti akan memberi kesan kepada pengusaha bot ekspres, namun menurut beliau orang ramai tidak harus bergantung kepada bot ekspres untuk selama-lamanya sebagai pengangkutan.

“Kita harus sedar semua tempat di negara ini telah dihubungi dengan jalan raya kecuali ke Kapit. Jadi, saya melihat tidak ada sebab kami pengusaha bot ekspres membantah pembinaan jalan ini.

“Tambahan dengan adanya jalan raya, ia akan memudahkan penduduk untuk pulang ke kampung halaman masing-masing selain membuka tanah untuk aktiviti pertanian seperti getah dan kelapa sawit,” kata Theng.