‘Tidak selesa’ jika tukar kerusi

0

Bertukar kawasan pada pilihan raya bukan amalan baik untuk BN: Wan Junaidi

KUCHING: Penyandang kerusi Parlimen Santubong, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak selesa untuk ditukarkan ke kawasan lain jika dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.

Beliau yang mempunyai rekod cemerlang di kubu kuat Barisan Nasional (BN) itu berkata, bertukar kawasan atau kerusi pada pilihan raya bukan satu amalan yang baik untuk BN.

Jelasnya, kecenderungan bertukar kawasan lazimnya berpunca daripada rasa tidak puas hati pada diri calon itu sendiri terhadap kawasan yang diwakilinya ataupun su­kar mendapat kerjasama dari­pada pemimpin dan penduduk di kawasan berkenaan.

“Sejujurnya, saya sendiri tidak selesa jika ditukar ke kawasan lain luar dari San­tubong pada Pilihan Raya Umum akan datang.

“Tetapi oleh kerana Pengerusi BN sama ada di peringkat negeri mahupun pusat belum memutuskan apa-apa mengenai senarai muktamad calon, maka saya tidak boleh bertindak ter­buru-buru.

“Saya mungkin mengatakan bahawa saya tidak selesa jika ditukarkan… tetapi apa-apa pun kita kena tunggu dahulu sehingga senarai nama calon diumumkan nanti,” katanya.

Beliau yang juga bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bilik Gerakan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.27 Simang­gang di sebuah hotel di sini, semalam.

Ditanya mengenai ke­mampuan untuk menang dengan majoriti lebih tinggi pada PRU13, Wan Junaidi dengan yakin berkata ia tidak mustahil jika dilihat daripada prestasi cemerlangnya sebe­lum ini.

Katanya, pada PRU 1995, beliau menang tanpa bertand­ing di kerusi Parlimen Batang Lupar dan mendapat majoriti 10,560 undi pada PRU 2004 juga di Batang Lupar, sebelum ditukarkan ke Santubong pada PRU 2008 dengan rekod 11,932 undi majoriti.

“Saya melihat kesungguhan ketiga-tiga ADUN dalam Parlimen Santubong, iaitu Dr Abdul Rahman Junaidi (Pantai Damai), Dr Hazland Hipni (Demak Laut) dan Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem (Tanjong Datu) untuk memastikan BN menang dengan majoriti tinggi pada PRU13.

“Justeru, saya amat yakin BN mampu memperolehi majoriti undi yang lebih tinggi pada PRU13 bagi Parlimen Santubong kelak,” katanya.

Mengulas mengenai me­syuarat tersebut, Wan Jun­aidi yang juga Pengerusi PBB N.27 Simanggang berkata, hasil perbincangan itu, mere­ka sebulat suara menyokong BN pada PRU13 tanpa memi­lih calon.

Bagaimanapun, besar hara­pan mereka agar penyandang sedia ada, Masir Kujat akan dicalonkan semula dikerusi selamat BN itu melihat ke­pada prestasi cemerlang beliau sepanjang menyandang kerusi terbabit.

“Kami PBB di N.27 Si­manggang sebulat suara akan bekerjasama dengan Parti Rakyat Sarawak (PRS) untuk memastikan Parlimen Sri Aman kekal milik BN tanpa memilih calon,” kata Wan Junaidi.

Dalam pada itu, menjelang PRU13, PBB N.27 Simang­gang telah membuka Bilik Gerakan diketuai oleh Penga­rahnya Franklin Guang yang juga Timbalan Pengerusi PBB N.27 Simanggang.