DAP dijangka letak calon di Stampin

0

KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) dijangka meletakkan calon untuk bertanding di kerusi Stampin pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.

Walaupun DAP tidak pernah mengesahkan calon di kawasan itu, bagaimanapun risalah ‘Ubah Untuk Sistem Dua-Parti’ yang dilancarkan parti itu semalam menampilkan penyandang kerusi Bandar Kuching Chong Chieng Jen dan Pembantu Khasnya Julian Tan menimbulkan spekulasi apabila mereka adalah calon yang akan bertanding sama ada di Stampin atau Bandar Kuching bagi Pakatan Rakyat (PR).

Orang ramai sedia maklum bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP berminat untuk meletak calon di Stampin, lebih-lebih lagi apabila PKR berhasrat meletakkan Naib Presiden Wanita Voon Shiak Ni sebagai calon manakala Chong dikatakan akan bertanding di Stampin.

Turut dispekulasikan bahawa Tan dan seorang lagi pembantu khas kepada Chong, Dr Tang Sie Hing akan di-letakkan di Stampin atau Bandar Kuching.

Chong, ketika ditanya mengenai perkara tersebut sekadar berkata, jawatankuasa pemilihan parti telah membuat keputusan muktamad berhubung siapa yang akan bertanding pada 24 Februari lalu.

“Kami telah membuat keputusan cuma belum membuat pengumuman lagi. Anda boleh membuat apa sahaja andaian, sehingga pengumuman dibuat apabila tiba masanya nanti,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama Tan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending Violet Yong, ADUN Batu Kawah Christina Chew dan ADUN Padungan Wong King Wei.

Ditanya untuk membuat pengesahan bagi calon di Stampin, Chong bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai peruntukan kerusi antara PR.

Sementara itu, DAP melancarkan risalah ‘Change for Two-Party System’ yang bakal diedarkan kepada orang ramai.  Antara lain, DAP menyarankan agar sistem dua parti diwujudkan dalam landskap politik negara.

“Melalui sistem dua parti, kita boleh mempunyai sema-kan terbaik dan sistematik serta keseimbangan kepada kerajaan hari ini sama ada BN atau PR,” kata Chong.