Sukarnya mengundi di pedalaman

2

MIRI: Keadaan muka bumi dengan penempatan yang jauh serta berselerak di pedalaman yang masih diselubungi hutan tebal di negeri ini, merupakan masalah logistik yang masih menjadi mimpi buruk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bekas kaunselor di Majlis Daerah Marudi (MDM) Anthony Lawai Karing memberitahu masalah itu bukan sahaja terpaksa dihadapi oleh SPR, malah berdasarkan pengalaman katanya, ia turut dihadapi oleh para pengundi di pedalaman Baram khususnya di kawasan terpencil.

Beliau memberitahu, dengan keadaan Sarawak yang hampir menyamai keluasan Semenanjung Malaysia, maka tidak hairan jika Sarawak diberi peruntukan lebih besar untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), berbanding kebanyakan negeri lain.

“Pada masa yang sama, ia turut memberikan kos yang tinggi kepada kebanyakan penduduk kampung di pedalaman termasuk kaum Penan, untuk keluar dan turun ke pusat pengundian yang terletak jauh dari kediaman atau rumah panjang mereka.

“Justeru, sama ada mereka keluar untuk mengundi atau sebaliknya, ia bergantung kepada pengangkutan yang ada, sama ada disediakan atau mereka perlu turun sendiri dan menanggung kos pengangkutan tersebut,” katanya ketika berkongsi pengalamannya, menjelang PRU13 ini.

“Apa yang diperlukan oleh penduduk seperti mereka ialah bekalan bahan bakar yang cukup untuk enjin sangkut dan motosikal mereka, yang akan digunakan untuk turun ke pusat mengundi,” tambahnya.

Anthony yang juga bekas ketua penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan berasal dari Long San, Ulu Baram, berkata beliau amat berharap kerajaan membantu mempertimbangkan masalah logistik yang masih menghantui penduduk di pedalaman Baram, dengan membantu mereka dalam apa jua cara, supaya mereka dapat turun menunaikan kewajipan.

Jika tiada orang membantu katanya, penduduk yang miskin terpaksa berganding bahu menggunakan sumber yang mereka ada untuk turun menunai kewajipan yang datang hanya sekali dalam lima tahun.

“Jika kerajaan tidak mampu membantu atau melakukan sesuatu, saya berharap agar ada pihak lain boleh tampil membantu tidak kira sama pembangkang sekali pun, jika mereka ikhlas, membantu penduduk untuk turun ke pusat mengundi dan menunaikan kewajipan mereka,” katanya.