DP sedia lepas jawatan

0

BERI LALUAN: Paruwadi sedia lepas jawatan presiden PSS kepada muka baharu.

KUCHING: Presiden Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS), Datuk Paruwadi Musa (DP) bersedia memberi laluan kepada muka baharu untuk menerajui persatuan.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan DP berhasrat untuk mengundur diri pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PSS yang akan diadakan di Dewan Suarah, Kuching hari ini.

“Saya sedia melepaskan jawatan presiden PSS kepada sesiapa sahaja yang berminat. Bagaimanapun, calon yang berhasrat untuk menyandang jawatan tersebut haruslah daripada ahli-ahli gabungan PSS.

“Ini berdasarkan perlembagaan terbaharu Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM),” katanya ditemui di sini semalam.

Menurut Paruwadi, beliau hanya akan mengekalkan jawatan Naib Presiden PSM kerana masih diberi kepercayaan oleh badan induk itu.

Paruwadi mula menjadi presiden PSS sejak 2010 dan beliau banyak memainkan peranan penting dalam memartabatkan sukan sepak takraw negeri ini.

“Saya yakin ramai lagi calon yang layak dan dapat memikul tanggungjawab dalam mentransformasi persatuan ini agar menjadi lebih berjaya pada masa akan datang,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, AGM persatuan kali ini agak suram kerana banyak ahli gabungan dijangka tidak hadir.

Katanya, ahli gabungan yang dijangka tidak hadir adalah dari Miri, Bintulu, Betong, Kapit, Mukah dan exco dari Sarikei.

Setakat semalam, hanya Samarahan, Polis, Sibu, Sarikei dan Sri Aman mengesahkan akan hadir pada AGM berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Paruwadi berkata Kejohanan Piala Emas Khir Johari kali ke-50 yang dijadual berlangsung pada bulan ini di Kedah ditunda pada tarikh yang belum ditetapkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). Seperkara lagi, katanya, PSM akan memulakan kejohanan sepak takraw bertaraf profesional Liga Takraw Malaysia pada Oktober depan.

“Kejohanan julung kali diadakan itu akan menampilkan penyertaan kelab sepak takraw terbaik dalam negara. Bagi menjadikannya lebih menarik, setiap kelab boleh membawa masuk pemain import, “ jelas Paruwadi.