Jurulatih Yow FC tidak mahu anak buahnya dibuai mimpi

0

KUCHING: Jurulatih Yow FC, Sepawi Jepon tidak mahu anak-anak buahnya dibuai mimpi oleh dua kemenangan awal pada Liga Samarahan-Naim 2013.

Sebaliknya, beliau menggesa para pemain agar mengekalkan momentum kemenangan pada perlawanan ketiga menentang Pulapol FC esok.

“Saingan liga baharu sahaja bermula dan pemain tidak boleh mendabik dada terlalu awal. Pasukan lain belum menunjukkan keupayaan sebenar dan saya yakin kedudukan ini tidak akan kekal jika kita tidak mengekalkan rentak cemerlang,” katanya di sini semalam.

Bagaimanapun, Sepawi gembira dengan kelebihan enam mata yang mereka miliki hasil dua kemenangan awal.

Katanya, ia akan menyemarakkan semangat anakanak buahnya untuk melakar kemenangan ketiga bagi mengukuhkan kedudukan di puncak liga.

Sementara itu, tiga perlawanan akan berlangsung hari ini dengan menyaksikan pertemuan Kapaku FC/Ocean Eagle FC Samarahan, Kaslo FC/Gedong FC dan Team Kickalob K2015/A&J FC.

Manakala jadual perlawanan esok adalah EK Partners FC/Sanjung Etika, Pulapol FC/Yow FC dan Sambir Bistari FC/10 RRD.

Sanjung Etika turut menyimpan hasrat untuk mengutip tiga lagi mata penuh bagi memintas pendahulu liga.

Kedua-duanya berkongsi enam mata namun dipisahkan oleh kelebihan jaringan yang memihak kepada Yow.