PIBG lengkapi fungsi kementerian bentuk sekolah, pelajar cemerlang

0

MIRI: Penubuhan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) di setiap sekolah membantu melengkapi fungsi Kementerian Pelajaran Malaysia membentuk sekolah dan pelajar cemerlang.

Setiausaha Politik kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Sebastian Ting berkata sebagai entiti penting sekolah, permuafakatan antara ibu bapa dan guru akan dapat meningkatkan mutu pengajaran guru dan pembelajaran murid di sekolah.

“PIBG juga mempunyai peranan saling lengkap-melengkapi fungsi Kementerian Pelajaran Malaysia dalam menyediakan prasarana, kemudahan dan suasana sekolah yang kondusif kepada murid-murid dan guru-guru di sekolah,” jelas Ting.

Beliau berkata demikian merasmikan penutupan Mesyuarat Agung Persatuan PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Pujut Corner 2013 semalam.

Ting menambah, ditubuhkan mengikut Akta Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia 1996, PIBG turut berperanan meningkatkan kerjasama dan perkongsian antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat.

Sehubungan itu, beliau meminta ahli-ahli jawatankuasa PIBG bergerak aktif dalam memastikan hubungan kerjasama yang jitu dapat disemai bagi meningkatkan kecemerlangan sekolah.

“Banyak aktiviti serta program yang boleh dirancang bagi meningkatkan pencapaian sekolah dari sekolah dari segi akademik, kokurikulum dan sahsiah,” tambah Ting.

Ting berbangga dengan pencapaian SK Pujut Corner dalam bidang akademik yang membuktikan kejayaan ibu bapa dan guru yang sentiasa berusaha demi kejayaan anak-anak mereka.

Sekolah berkenaan terkenal dengan kehebatan pasukan tarian sehingga menjadi johan selama beberapa tahun berturut-turut bagi peringkat Daerah Miri.

“Kejayaan ini merupakan salah satu manifestasi hubungan kerjasama erat di antara pihak di antara pihak sekolah dengan ibu bapa menerusi PIBG,’ jelasnya.

Sehubungan itu, Ting menggesa ibu bapa agar memainkan peranan yang lebih proaktif dalam usaha memartabatkan sekolah itu ke tahap yang membanggakan sesuai dengan visi sekolah iaitu SK Pujut Corner Cemerlang menjelang 2013.

Kecemerlangan, katanya, bukan sahaja dalam kokurikulum tetapi lebih penting dalam bidang akademik iaitu keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Ting turut menggesa ibu bapa agar memberi kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak dengan menyediakan pendidikan sempurna untuk menjamin masa depan yang lebih cerah.

“Pendidikan yang sempurna harus diberikan supaya mereka dapat meneruskan kejayaan dan kecemerlangan pemimpin negara pada masa ini. Anak-anak kitalah yang akan merealisasikan hasrat kita semua untuk melihat Malaysia menjadi negara maju pada tahun 2020,” jelasnya.

Hadir sama ialah Yang Dipertua PIBG, Raya Mustafa dan Guru Besar, Robin Udau.