Semai kepentingan alam sekitar kepada generasi muda: Dr Jerip

0

KUCHING: Kesedaran tentang kepentingan alam sekitar harus diterapkan di kalangan generasi muda khususnya pelajar kolej.

Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Jerip Susil berkata, penglibatan golongan muda da-lam program menanam pokok-pokok atau kayu-kayuan adalah salah satu cara bagi menyemai kesedaran mereka terhadap kepentingan alam sekitar.

“Sebagai generasi masa hadapan, mereka hendaklah didedahkan dengan kepentingan pokok kepada alam sekitar dan kehidupan agar pembalakan haram dapat dibanteras serta kemusnahan alam sekitar dapat dihalang dan dihindari.

“Selain pokok-pokok bunga, kita juga menggalakkan penamanan kayu-kayuan seperti meranti atau getah bukan sahaja untuk kehijauan alam sekitar, tetapi juga sebagai warisan kepada generasi muda akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Program Penanaman Pokok dan Kolej Dalam Taman, Kolej Sains Kesihatan Bersekutu (KSKB) Kuching di Jalan Puncak Borneo di sini, semalam.

Program anjuran KSKB Kuching bersama Majlis Perbandaran Padawan (MPP) itu turut dihadiri Timbalan Setiausaha Bahagian Institusi Latihan Kesihatan Malaysia (ILKKM) Nik Noraihan Thani Nik Hassan Thani, Pengerusi MPP Lo Khere Chiang dan Pengerusi Jawatankuasa Landskap dan Keindahan merangkap pengerusi pengelola Edward Kurik.

Dr Jerip berkata, penyelenggaraan dan penjagaan pokok yang telah ditanam juga perlu dititikberatkan.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengoh itu, langkah tersebut akan memastikan pokok-pokok berkenaan terus subur dan memberi kesan kepada alam sekitar seperti pengurangan pemanasan global, pengurangan gas karbon monoksida dan sebagainya.

“Program menanam pokok amat penting nilainya kepada kehidupan seharian manusia memandangkan sepohon pokok mampu menjana oksigen untuk kegunaan empat orang dalam kehidupan seharian,” kata beliau.

Dr Jerip memberitahu, objektif program penanaman pokok adalah untuk menggerakkan aktiviti landskap di seluruh negara ke arah menjadikan Malaysia negara ‘Taman Terindah’ menjelang tahun 2020.

“Selain itu ia bagi melaksanakan komitmen kerajaan kepada dunia bagi mengekalkan 50 peratus daripada bumi Malaysia, hijau,” katanya.

Sementara itu, Edward dalam ucapannya berkata, program penanaman pokok oleh MPP telah mula dilaksanakan pada tahun 2008.

Katanya, ia bertujuan bukan sahaja untuk menceriakan kawasan atau premis yang terlibat tetapi juga demi manfaat kesihatan.

Beliau memberitahu, MPP menyasarkan untuk menanam 15,111 batang pokok di kawasan di bawah pentadbiran mereka pada tahun ini dan program penanaman pokok di KSKB itu merupakan yang kelima diadakan MPP.

“Kita telah berjaya menanam 5,000 batang pokok dalam beberapa program bersama masyarakat setempat sebelum ini,” katanya.