BN S’wak tampil 8 muka baharu

1

INI DIA: Taib menunjukkan senarai penuh calon BN Sarawak yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13. Turut kelihatan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang (kiri) dan Presiden PRS Tan Sri James Masing (dua kanan) serta calon Serian Datuk Richard Riot (kanan).

Seorang daripadanya calon wanita, Rubiah Wang bakal bertanding di Parlimen Kota Samarahan

KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak menampilkan lapan muka baharu bagi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Pengerusi BN Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata daripada lapan muka baharu itu, seorang merupakan calon wanita iaitu Rubiah Wang, 45 yang bakal bertanding di kerusi Parlimen Kota Samarahan.

“Terdapat 31 kawasan Parlimen di Sarawak dan BN akan bertanding di kesemua kawasan ini dan daripada 31 calon, lapan adalah muka baharu, yang lain itu muka lama (penyandang).

“Walaupun muka lama ada yang sudah menjadi Ahli Parlimen selama sepenggal sahaja, bagi kita di Sarawak, kita menggalakkan melainkan ada wakil yang tidak memenuhi syarat sebagai seorang AP (Ahli Parlimen) yang cukup giat mengikut pandangan kawasan mereka, kita menggantikan mereka sebelum memenuhi dua penggal,” katanya ketika mengumumkan calon BN Sarawak yang akan bertanding pada PRU13 nanti.

Taib menambah, dalam lapan muka baharu ini seorang daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) iaitu Rubiah Awang, seorang daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) iaitu Ugak Kumbong yang akan bertanding di kerusi Parlimen Hulu Rajang.

Tiga lagi calon baharu ialah daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) iaitu Tan Kai (Bandar Kuching), Datuk Sebastian Ting (Miri) dan Temenggung Vincent Lau (Sibu) manakala tiga lagi daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) iaitu Nogeh Gumbek (Mas Gading), Anyi Ngau (Baram) dan William Mawan (Saratok).

Manakala 23 lagi calon BN Sarawak merupakan muka lama yang mendapat sokongan kuat daripada akar umbi, tambahnya.

Mengulas mengenai calon baharu wanita tunggal kali ini, Taib berkata Rubiah pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir Sarawak (SAO), kemudian dilantik sebagai Pegawai Daerah Asajaya dan merupakan anak jati Kota Samarahan.

“Beliau mendapat permintaan daripada pengundi kawasan Samarahan sendiri supaya menjadi calon kita, yang saya harap seorang yang dapat menjadi Ahli Parlimen memikul peranan wanita untuk berkhidmat dalam kawasan mereka dan telah berkhidmat dengan begitu baik sebagai seorang DO,” ujarnya.

Ditanya mengenai peluang BN Sarawak memenangi kesemua kerusi Parlimen di negeri ini, Taib yakin BN Negeri mampu menang sekurang-kurangnya dua pertiga kerusi yang dipertandingkan.

“Menang di 23 hingga 27 kerusi adalah pencapaian yang munasabah bagi kita (BN Sarawak) dalam Pilihan Raya Umum kali ini,” katanya.

Mengenai calon bagi kerusi Saratok dan Baram, Taib memberitahu bahawa perubahan calon tidak dilakukan pada saat-saat akhir sebaliknya perkembangan isu tersebut dilihat dan dikaji lebih tiga bulan lalu.

Keputusan hanya dibuat selepas calon-calon berjaya diyakinkan bertanding di kedua-dua kerusi berkenaan.

Taib dalam pada itu menasihati penyandang yang tidak dicalonkan semula agar tidak berkecil hati sebaliknya terus menyokong BN untuk kejayaan besar.

Sebagai ahli politik yang berpengalaman mereka harus faham selok-belok politik dan perubahan harus berlaku dengan kesinambungan parti dan BN.

Terdapat 31 kerusi Parlimen di Sarawak, 14 diperuntukkan kepada PBB, tujuh diberikan kepada SUPP, empat (SPDP) dan PRS enam kerusi.