BAU: Pekan Bau menjadi sasaran perang poster antara Barisan Nasional (BN) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam usaha merebut kerusi Parlimen Mas Gading pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.
Tinjauan Utusan Borneo di sekitar kawasan ini semalam mendapati hampir setiap lokasi tumpuan di pekan ini dipenuhi dengan poster dan bendera yang mewakili kedua-dua parti yang bakal bertanding.
Menurut seorang penduduk dan pengundi Mas Gading yang ditemui semalam, poster-poster dan bendera-bendera parti mula dipasang secara mendadak pada malam Isnin sebelum pengumuman calon BN oleh Ketua Menteri.
Katanya, menjelang pagi Selasa, pekan Bau telah berubah wajah daripada suasana yang lengang sebelum ini kepada sebuah pekan yang begitu meriah dengan deretan poster dan bendera-bendera parti sama ada BN mahupun pembangkang.
Enggan namanya disiarkan, penduduk yang berasal dari Kampung Siniawan dan bekerja sebagai pembantu am di sebuah sekolah menengah di daerah ini berkata, BN berpeluang untuk menang pada pilihan raya kali ini meskipun calon yang dipilih kurang dikenali.
Katanya, berbanding DAP, penduduk Mas Gading masih memerlukan BN dan belum bersedia untuk bertukar kerajaan atas faktor pembangunan.
“Meskipun saya tidak minat dengan hal-hal politik tetapi saya masih mengikuti perkembangan yang berlaku terutama menjelang pilihan raya ini.
“Pada pandangan saya sendiri, meskipun calon baharu, Anthony Nogeh Gumbek kurang dikenali dan kurang menyerlah tetapi saya masih yakin penduduk di Mas Gading tetap akan memilih BN demi pembangunan terutama di kawasan luar bandar,” katanya.
Parlimen Mas Gading antara yang bakal menyaksikan saingan sengit pada pilihan raya ini selepas penyandangnya Datuk Dr Tiki Lafe dipecat daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan tidak dicalonkan semula.
Susulan itu, beliau (Dr Tiki) membentuk Kelab Barisan Nasional (BN) bersama empat lagi bekas ahli SPDP Datuk Peter Nansian Ngusie (ADUN Tasik Biru), Datuk Sylvester Entri Muran (ADUN Marudi), Rosey Yunus (ADUN Bekenu) dan Paulus Palu Gumbang (ADUN Batu Danau).
Parlimen Mas Gading bertambah keruh apabila Dr Tiki berhasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas atas sebab mahu mempertahankan kerusi berkenaan untuk BN daripada jatuh ke tangan pembangkang.
Dalam pada itu, calon BN Anthony Nogeh yang memegang jawatan sebagai timbalan pengurus besar SALCRA akan menentang calon DAP Mordi Bimol.