Buah sarang semut laris kerana khasiat perubatannya

0

BAIK UNTUK KESIHATAN: Tony menyusun buah sarang semut yang telah dipotong dan dikeringkan.

SRI AMAN: Buah sarang semut, antara tarikan baharu di pekan Lachau, dekat sini yang terus mendapat permintaan dari semasa ke semasa.

Menurut Tony Tindin dari Kampung Rapak Atas yang memulakan perusahaan itu tiga bulan lepas, jualannya semakin meningkat lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini apabila ramai orang yang singgah di pekan tersebut.

“Permintaan semakin meningkat lebih-lebih lagi dalam jangka masa dua tiga minggu ini.

“Buah sarang semut ini amat sukar didapati, hanya di sekitar kawasan ini sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.

Tony yang berusia 36 tahun itu memberitahu, antara pelanggan tetapnya termasuk dari Sibu yang sanggup memandu ke Lachau demi mendapatkan buah yang dikatakan mujarab tersebut.

Buah yang mengandungi banyak semut itu turut menjadi tumpuan pelancong yang singgah di Lachau, katanya.

Buah tersebut mempunyai pelbagai khasiat seperti untuk mengubati penyakit kencing manis, darah tinggi, buah pinggang dan banyak lagi.

Dia menjelaskan, buah itu hanya perlu direbus selama 30 minit sebelum diminum dan ia tidak mempunyai apa-apa perasa.

Manakala yang telah dikeringkan, mempunyai rasa seperti teh Cina, katanya.

Buah berkenaan yang sudah dipotong-potong dijual pada harga RM5 manakala yang belum dipotong pada harga RM50 sehingga RM100.

Pohon buah sarang semut boleh didapati di kawasan hutan sekitar Lachau yang tumbuh secara parasit di pokok-pokok yang tinggi.

Khasiat pokok itu katanya, hanya diketahui selepas Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) menjalankan penyelidikan terhadap buah tersebut berhampiran kampungnya, sekitar hujung tahun lepas.

Tony mula menjualnya secara komersil selepas menyaksikan sendiri kemujaraban buah tersebut.

Dia kini mengusahakan penanaman tanaman tersebut di kawasan sekitar rumah panjangnya.

“Diharapkan, saya dapat memperluaskan perniagaan saya ini pada masa depan,” katanya.