Kebing beri sokongan padu kepada Anyi

0

MIRI: Bekas calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-10 (PRN10) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 2011 iaitu Kebing Wan memberikan sokongan penuh kepada calon baharu Barisan Nasional (BN) di Parlimen Baram Anyi Ngau.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau ini menandakan gandaaan sokongan kepada BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.

“Beliau (Kebing) bakal memberikan sokongannya terhadap calon BN (Anyi) pada kali ini,” katanya di sini semalam.

Menurut Dennis, Kebing menyatakan sokongannya ketika berjumpa Anyi dan beliau sendiri ketika lawatannya ke rumah mendiang Donald Wan Malang pada Ahad lalu.

“Ini bermakna peningkatan bagi majoriti dalam sokongan kepada BN di konstituensi Baram,” jelasnya.

Kebing pada PRN10 lalu bertanding atas tiket SNAP menentang Dennis (BN) dan dua lagi calon bagi kostituensi Telang Usan yang terletak di Baram.

Konstituensi Baram terdiri daripada DUN Telang Usan dan DUN Marudi yang kedua-duanya dimenangi BN pada PRN10 lalu.

Bagaimanapun, pada PRU12 (2008) Kebing pernah bertanding atas tiket Bebas menentang penyandang kerusi Baram Datuk Jacob Dungau Sagan.

Mengenai jentera BN Baram pula, beliau memberitahu bahawa pihaknya yakin dengan segala strategi dan rancangan yang telah dirangka.

“Walaupun calon muka baharu (Anyi), kami percaya semuanya tidak boleh dipandang rendah,” katanya.